KUALA LUMPUR: Sabah FC terpaksa akur di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah tewas 5-0 dalam aksi final Piala FA 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Lebih malang, gol kedua JDT adalah hasil jaringan sendiri Rawilson Batuil pada minit ke-20, membolehkan gergasi bola sepak Malaysia itu mengumpul tiga jaringan pada babak pertama dan dua jaringan pada babak kedua.
Sang Badak juga terpaksa bermain 10 orang selepas Miguel Angel Garrido Cifuentes dilayangkan kad kuning kedua pada separuh masa kedua.

Meskipun dengan kelemahan dialami Sabah FC, pemain tetap menunjukkan semangat juang yang tinggi bagi memastikan JDT tidak ‘berpesta gol’ sepanjang perlawanan.
Banyak cubaan pasukan Harimau Selatan itu berjaya dipatahkan pertahanan Sabah, meskipun hampir sepanjang perlawanan Sang Badak terpaksa berkampung di kawasan sendiri.
Sabah hanya berjaya melakukan satu cubaan tepat pada akhir babak pertama apabila berjaya menjaringkan gol, namun malangnya jaringan berkenaan dibatalkan selepas semakan VAR mendapati berlaku kekasaran terhadap pemain JDT sebelum itu.

Penyokong Sabah yang datang ke Stadium Nasional tetap memberi sokongan moral kepada Sang Badak walaupun tahu tugas menewaskan JDT bukan sesuatu yang mudah. – Info X