LABUAN: Seramai 10 warga China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah dalam satu Operasi Sapu di empat lokasi kediaman sekitar kawasan taman perumahan di sini, pada Selasa.
Pengarah JIM Wilayah Persekutuan Labuan, Raymond Entalai berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi itu, hasil maklumat awam serta risikan yang dijalankan JIM Labuan.
“Operasi berkenaan diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah (KTPP) Fatrick James bersama 18 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan.
“Seramai 20 individu diperiksa membabitkan 15 lelaki dan lima wanita, kesemuanya warganegara China. Hasil pemeriksaan mendapati 10 individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan, beberapa individu cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah.
“Keadaan itu menyebabkan berlaku aksi kejar – mengejar, namun semua individu terbabit berjaya ditahan tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Selain tangkapan, sebanyak empat saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan,” katanya.
Raymond berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sementara itu, beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warganegara asing yang melanggar undang-undang negara.
“Sehubungan itu, orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi atau menggaji pendatang tanpa izin (PATI) kerana tindakan tegas boleh diambil di bawah undang-undang sedia ada.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan PATI atau aktiviti melanggar undang-undang imigresen diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa,” katanya. – Info X