SEMPORNA: Cubaan menyeludup 4,216 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi ke negara jiran gagal apabila perahu membawa barangan kawalan itu ditahan di kawasan laut Tobo-Tobo, di sini, semalam.
Perahu yang sarat muatan minyak masak paket itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna ketika menjalankan rondaan Op Taring Gelora, kira-kira jam 4 petang.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika membuat pemantauan kelihatan sebuah perahu yang ditinggalkan di kawasan bakau dalam keadaan mencurigakan.
“Seterusnya pasukan operasi menghampiri perahu itu dan membuat pemeriksaan dan menemui 4,216 kg minyak masak paket bersubsidi yang disorok di dalam plastik di ruangan perahu.
“Semua minyak masak paket itu dipercayai hendak diseludup ke Filipina,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, barangan rampasan termasuk perahu dibawa ke Pangkalan Marin Semporna untuk tindakan lanjut.

“Nilai minyak masak paket yang dirampas berjumlah RM10,540 dan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin RM76,004.
“Rampasan dirujuk ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – Info X