Search

GAGAL SELUDUP MINUMAN KERAS BERNILAI RM144,709

May 19, 2022

admin

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan menggagalkan cubaan menyeludup keluar minuman keras dari pulau bebas cukai itu selepas dikesan di kawasan laut Menumbuk, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Persekutuan Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata,
semua minuman keras yang dirampas termasuk cukai dianggarkan bernilai RM144,709.50.

“Dalam kejadian jam 4.10 pagi itu, anggota bertugas membuat pemantauan ke atas sebuah bot yang disyaki membawa minuman keras dari Labuan di kawasan laut Menumbuk.

“Anggota PPM kemudiannya menahan bot berkenaan di tepi kawasan bakau namun dua suspek yang berada di atas bot bertindak terjun melarikan diri di kawasan paya bakau dan gagal dikesan.

“Hasil pemeriksaan mendapati muatan yang dibawa iaitu minuman keras yang dipercayai belum bercukai ingin diseludup dari Labuan ke tanah besar Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saidul berkata, minuman keras dan sebuah bot fiber beserta enjin bot dirampas dan nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM144,709.50.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Wilayah Persekutuan Labuan. – Info X