KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengambil pendirian untuk terus menyokong penuh Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya mendukung segala usaha serta komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Plus Sabah.
“Kita akan terus berkerjasama dalam menangani masalah yang diwarisi dari kerajaan lalu termasuklah bekalan air, elektrik, jalan raya serta keperluan untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan Sabah.
“Gagasan Rakyat turut menyokong komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan-GRS Plus Sabah dalam menuntut hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),”katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Gagasan Rakyat telah mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada Jumaat, di sini semalam.
Menurutnya, AMT mengambil maklum sambutan serta respon positif rakyat di seluruh pelusuk negeri untuk menyertai dan memohon menjadi ahli Parti Gagasan Rakyat.
Nizam berkata, pemimpin dan ahli Parti Gagasan Rakyat disemua bahagian diminta untuk terus memperkemas jentera bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
“Kita akan mengadakan mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat termasuk sayap-sayap pergerakan bermula pada 17 Julai hingga ke Persidangan Agung Tahunan pada 26 November depan.
“Pihak urus setia Parti Gagasan Rakyat akan menghantar surat pekeliling berkaitan mesyuarat tahunan ini kepada semua bahagian di seluruh negeri,” katanya. – Info X