KOTA KINABALU: Orang ramai kini berpeluang menelusuri sejarah kepolisan Sabah sejak era penjajahan hingga zaman moden menerusi pembukaan Galeri Polis Sabah, bermula hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, galeri itu menempatkan ratusan koleksi bersejarah termasuk kelengkapan, gambar dan aset logistik yang pernah digunakan pasukan polis.
Katanya, antara bahan dipamerkan ialah mesin taip, alat komunikasi, senjata serta pelbagai peralatan berkaitan perkembangan kepolisan di negeri ini.
“Jika dihitung satu persatu, terdapat ratusan koleksi membabitkan kelengkapan kepolisan, sejarah, gambar dan aset logistik yang digunakan sejak era penjajahan hingga zaman moden.
“Galeri ini turut memaparkan gambaran beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku di Sabah, termasuk senjata yang digunakan dalam kejadian bersejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Galeri Polis Sabah kepada orang awam, di sini, hari ini.
Menurutnya, antara sejarah penting yang diketengahkan ialah peristiwa berdarah pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

“Setiap peristiwa penting sejak era penjajahan hingga sekarang dipaparkan supaya masyarakat dapat memahami sejarah dan pengorbanan pasukan polis di Sabah,” katanya.
Galeri berkenaan dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, namun pengunjung perlu menetapkan temu janji terlebih dahulu dengan pegawai bertanggungjawab.
Jauteh berkata, ketetapan itu perlu kerana galeri berkenaan terletak dalam kawasan larangan dan setiap pengunjung perlu didokumentasikan mengikut prosedur keselamatan.
“Lawatan secara individu atau berkumpulan dibenarkan, tetapi pengunjung perlu memaklumkan lebih awal bagi membolehkan urusan dokumentasi dan keselamatan dibuat,” katanya.
Menurutnya, kadar bayaran lawatan belum ditetapkan dan pihak pengurusan akan menilai keperluan mengenakannya selepas beberapa siri lawatan dilaksanakan. – Info X