TAWAU: Hanya kerana hutang RM20, seorang lelaki bertindak memukul kenalannya menggunakan batang besi hingga cedera dalam kejadian di Batu 22, Jalan Apas Balung, di sini.
Tidak terhenti setakat itu, suspek tempatan berusia 40 tahun turut menggugut mangsa menggunakan parang serta mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap mangsa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa seorang lelaki berusia 33 tahun kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Sri Indah Tawau selepas diugut dan dicederakan oleh suspek.
Katanya, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau ketika menjalankan operasi di sebuah rumah di Kampung Rancangan Batu 22, Jalan Apas, kira-kira 6 petang semalam.
“Hasil siasatan mendapati, kejadian pada 6 September lalu berpunca kerana suspek tidak puas hati terhadap mangsa yang meminta semula hutang yang pernah dipinjam oleh rakan suspek sebanyak RM20.
“Suspek kemudian memukul mangsa dengan menggunakan sebatang besi hingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, tidak lama selepas itu, suspek datang sekali lagi ke rumah mangsa dan mengugut menggunakan parang serta mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap mangsa.
“Susulan penahanan suspek, polis turut merampas sebatang besi milik suspek yang disyaki digunakan ketika kejadian itu.
“Selain itu, selaras senapang angin, sebuah beg pinggang mengandungi enam biji guli dan sebuah botol jernih mengandungi cecair metanol dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, hasil semakan rekod jenayah lampau, suspek memiliki 10 rekod berkaitan jenayah dan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata dan ugutan jenayah serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya. – Info X