KUDAT: Gelisah seorang lelaki sebaik menyedari kehadiran polis, membongkar kegiatan pengedaran dadah selepas dia ditahan bersama dadah jenis syabu dalam serbuan di tepi jalan berhampiran kedai kopi di Jalan Kampung Tanjung Kapor 1, di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 6 petang itu, pasukan serbuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) dan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat turut merampas dadah jenis syabu seberat 18.22 gram yang dianggarkan bernilai RM1,800.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek berusia 23 tahun kelihatan mencurigakan dan bertindak gelisah ketika pasukan polis menghampirinya sebelum dia diperiksa.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas beg hitam yang disandang suspek menemui beberapa paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.
“Jumlah rampasan dianggarkan seberat 18.22 gram dengan nilai pasaran lebih RM1,800.
“Suspek ditahan serta-merta dan dibawa ke Pejabat BSJND IPD Kudat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Haris berkata, pihaknya kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran yang terbabit serta punca bekalan diperoleh suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan, polis akan terus menggempur aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini secara berterusan bagi memastikan ia tidak menular dan menggugat keselamatan masyarakat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah termasuk penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya terus kepada IPD Kudat atau balai polis berhampiran bagi membantu usaha membanteras jenayah dan dadah dalam daerah Kudat,” katanya. – Info X