Search

Gelombang #JusticeForZara tidak tercetus jika siasatan awal ikut SOP

August 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gelombang #JusticeForZara tidak akan tercetus jika siasatan awal dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang sejak hari pertama kematian Zara,” tegas barisan peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Dalam kenyataan media bersama hari ini, peguam-peguam itu menzahirkan sokongan terhadap langkah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas tiga pegawai polis masing-masing berpangkat Superintenden, Asisten Superintenden Polis (ASP) dan Inspektor, kerana didakwa tidak mematuhi SOP ketika mengendalikan siasatan.

“Kami memohon supaya tindakan tegas diambil terhadap pegawai-pegawai polis terbabit sekiranya terbukti berlaku ketidakpatuhan SOP siasatan.

“Kami juga berharap gelombang JusticeForZara menjadi peringatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memastikan setiap kes kematian yang meragukan disiasat dengan efektif, telus dan mengikut SOP sejak tarikh laporan maklumat pertama diterima,” kata mereka.

Peguam Hamid Ismail bersama rakan guamannya Shahlan Jufri, Rizwandean Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser itu turut menegaskan bahawa mereka masih menunggu tarikh permohonan inkues diadakan dari Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan JIPS Bukit Aman membuka KST terhadap ketiga-tiga pegawai berkenaan.

Sebelum ini juga, media melaporkan tindakan tegas akan dikenakan ke atas pegawai penyiasat dan penyelianya susulan dapatan hasil siasatan pasukan Task Force Bukit Aman bahawa terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan membabitkan kematian Zara Qairina.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar dipetik berkata, pasukan Task Force bermula pada 11 Ogos lalu dan hasil penemuan awal mendapati ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan yang mana pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk proses bedah siasat. – Info X