Search

Gempa bumi kuat di Mindanao, gegaran dirasai hingga Tawau dan Semporna

June 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina pagi ini turut menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di pantai timur Sabah termasuk Tawau dan Semporna.

Dalam kejadian jam 7.37 pagi itu, gempa bumi berkenaan dikesan berlaku pada koordinat 5.7 darjah Utara dan 125.1 darjah Timur, kira-kira 97 kilometer (km) selatan Koronadal City, Filipina pada kedalaman 50 km.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan, pihaknya sedang memantau perkembangan susulan kejadian berkenaan.

“Setakat ini gegaran dilaporkan dirasai oleh penduduk di Tawau, Semporna serta beberapa kawasan sekitarnya.

“MET Malaysia sedang memantau perkembangan kejadian ini dan akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi berkenaan diminta mengisi borang soal selidik yang disediakan MET Malaysia bagi membantu proses pengumpulan maklumat dan penilaian kesan gempa bumi.

Terdahulu, beberapa pengguna media sosial di Tawau dan Semporna berkongsi pengalaman merasai gegaran selama beberapa saat.

Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan rasmi diterima mengenai kerosakan atau kecederaan akibat kejadian berkenaan. – Info X