KUDAT: Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang nyenyak tidur hanya mampu terkedu apabila ‘dikejutkan’ kehadiran pihak berkuasa dalam Ops Bersepadu di empat lokasi berasingan di daerah ini, semalam.
Operasi bermula kira-kira 11 malam dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kudat.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, dalam operasi bersepadu itu, seramai 122 individu diperiksa terdiri daripada 78 lelaki dan 44 wanita.
“Hasilnya, kita menahan seramai 37 PATI yang berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.
“Semua yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, semua PATI diserahkan kepada JIM untuk tujuan dokumentasi serta tindakan lanjut
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan operasi sebegini akan diteruskan dalam usaha mengekang kemasukan serta mengurangkan kebanjiran PATI di daerah ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata masyarakat setempat di daerah ini supaya tidak memberi peluang atau kebenaran kepada PATI untuk mendirikan kediaman di tanah milik persendirian atau menyewakan rumah untuk mereka tinggal.
Katanya, tindakan menawarkan tempat tinggal kepada PATI adalah menyalahi peraturan dan boleh diambil tindakan mengikut Akta Imigresen. – Info X