KOTA KINABALU: Seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dipercayai menjadi mangsa pukul beramai-ramai oleh lima pelajar perempuan lain dalam kejadian di sekitar bandar raya ini, minggu lalu.
Kejadian itu terbongkar selepas rakaman video memaparkan mangsa dipukul tular di media sosial sejak semalam sebelum menerima perhatian ramai.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada 23 Mei lalu kira-kira jam 7.51 pagi yang dibuat sendiri oleh mangsa.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 22 Mei lalu kira-kira jam 8 pagi di sekitar kawasan Kota Kinabalu.
“Mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan sehingga mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, selain lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa dan semua suspek adalah pelajar daripada beberapa sekolah berbeza di sekitar Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, semua mereka dipercayai saling mengenali menerusi satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Angel”.
Menurutnya, siasatan juga mendapati mangsa dibawa ke lokasi kejadian oleh dua suspek sebelum semua pelajar terbabit bertindak mengepung dan memukul mangsa dipercayai akibat salah faham serta rasa tidak puas hati.
“Mangsa turut mendakwa diugut supaya tidak memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga atau pihak polis.
“Kejadian itu disaksikan beberapa pelajar dan orang awam sebelum dirakam dan tersebar di media sosial,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi satu minit, satu saat memaparkan seorang pelajar perempuan dipukul beramai-ramai dipercayai berlaku di luar kawasan sekolah sehingga mengundang kecaman orang ramai. – Info X