RANAU: Hujan lebat menyebabkan limpahan air lumpur berlaku sehingga menyebabkan beberapa gerai buah- buahan di Kilometer 137, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan di Kampung Nabutan, rosak teruk.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu turut menyebabkan laluan kedua-dua lorong tidak dapat dilalui.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya yang menerima maklumat itu kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan dan pemantauan.
“Kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan oleh pihak konsesi Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Pemantuan turut dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi Info X.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit susulan kejadian itu. “Beberapa gerai di tepi jalan mengalami kerosakan akibat limpahan air lumpur.
“Kejadian itu dipercayai akibat hujan lebat berterusan selama lebih dua jam petang tadi sehingga menyebabkan berlaku limpahan air lumpur,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan gerai buah-buahan rosak hingga buah yang dijual bertaburan dihanyutkan limpahan air lumpur.
Kejadian itu turut mengundang rasa simpati oleh netizen dan berharap peniaga-peniaga sabar dan kuatkan semangat untuk terus mencari rezeki. – Info X