Search

GRAB sasar tingkatkan pendapatan pekerja Gig tanpa jejaskan tambang

October 9, 2026

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Grab menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan pemandu e-hailing dan rakan penghantaran p-hailing mulai tahun ini (2027) tanpa menjejaskan tambang penumpang, di bawah cadangan rangka kerja pendapatan minimum.

Grab dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa persetujuan prinsip telah dicapai mengenai cadangan kadar asas minimum bagi pekerja e-hailing dan p-hailing.

“Majlis Perundingan Gig akan meneruskan perbincangan bagi menentukan kadar muktamad,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan Grab itu adalah susulan pengumuman Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, bahawa kerajaan dan Grab akan membiayai bersama pakej bernilai RM160 juta untuk meningkatkan pendapatan dan kebajikan pekerja gig.

Di bawah pakej tersebut, pendapatan bersih bulanan median bagi pemandu e-hailing dijangka meningkat sehingga RM227, manakala pendapatan rakan penghantaran p-hailing dijangka meningkat sehingga RM100.

Grab menyatakan bahawa inisiatif lain termasuk subsidi penyelenggaraan kenderaan, bermula dengan pelincir, bagi mengurangkan kos operasi sehingga 35 peratus, serta insentif keselamatan interim untuk membantu pemandu e-hailing yang layak mengurangkan kos insurans kawal selia sehingga 25 peratus.

Syarikat itu juga memaklumkan bahawa pemandu dan rakan penghantaran yang paling aktif akan menerima perlindungan 100 peratus bagi caruman wajib Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), manakala rakan kongsi lain akan menerima subsidi caruman sehingga 50 peratus.

Menurut Grab, ia juga akan bekerjasama dengan kerajaan untuk memperkenalkan pas transit bulanan yang menawarkan tambang e-hailing dengan diskaun bagi perjalanan ke dan dari stesen kereta api, ia akan bermula di Lembah Klang.

“Dengan menawarkan tambang e-hailing dengan diskaun kepada pengguna untuk perjalanan ke dan dari stesen kereta api, inisiatif ini bertujuan meningkatkan akses kepada pengangkutan awam berlaluan tetap di samping menjana permintaan tambahan bagi rakan pemandu,” menurut kenyataan itu.

Pengarah Eksekutif Grab, Rashid Shukor berkata usaha meningkatkan taraf hidup rakan pemandu dan rakan penghantaran kekal menjadi keutamaan syarikat.

“Kami memahami bahawa setiap ringgit itu penting, sama ada ia diperoleh daripada peluang pendapatan tambahan mahupun penjimatan kos harian berkaitan pekerjaan.

“Dengan kerjasama pihak kerajaan, kami menerajui usaha dalam industri ini untuk memajukan langkah-langkah yang mampu membawa perubahan bermakna kepada rakan kongsi kami serta membina ekonomi gig lebih kukuh dan mampan,” kata Rashid.–BERNAMA