Search

GRS PERTIMBANG SEGERAKAN PENUBUHAN SAYAP PELAJAR

May 28, 2022

admin

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Hajiji Noor menyatakan pertimbangan bagi penubuhan sayap pelajar dilihat perlu disegerakan berikutan permintaan golongan itu.

“Langkah ini mampu menyemarakkan lagi semangat Sabah yang bersatu di bawab gabungan ini.

“Saya akan membincangkan dengan rakan-rakan pimpinan untuk mengusahakan strategi dan pendekatan lain bagi membawa lebih ramai rakyat Sabah bersama dalam perjuangan murni ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran GRS Secara Rasmi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Terdahulu, GRS muncul kali pertama ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020 sebagai gabungan kerjasama pelbagai parti menentang kerajaan Parti Warisan (Warisan) dan sekutunya atau Warisan Plus ketika itu.

Nama berkenaan diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mewakili kerjasama di antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu, STAR dan SAPP, diikuti Barisan Nasional (BN) yang merangkumi UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta PBS.

Gabungan itu kemudiannya berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memperolehi majoriti mudah pada PRN16 menewaskan Warisan Plus.

Namun BN tidak menyertai gabungan itu apabila ia dijadikan entiti politik rasmi bermula pada Mac lalu, sebaliknya hanya menjadi rakan yang membentuk kerajaan negeri yang kini dinamakan kerajaan GRS-BN.

Sementara itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun sewaktu ditemui selepas pelancaran itu menyatakan menerusi pelbagai maklum balas yang diterima daripada bawah, ramai menyatakan mahu GRS menjadi ‘full-fledged.

“Hal ini bermakna kita mempunyai bahagian wanita dan pemuda yang terdiri daripada golongan muda.

“Tambahan, umur layak mengundi sudah menurun kepada 18 tahun. Oleh itu saya ingat perlu ada pendedahan kepada pengundi muda daripada awal agar mereka lebih memahami tanggungjawab sebagai seorang pengundi,” katanya. – Info X