KOTA KINABALU: Parti Warisan mendakwa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mengambil berat beban hutang pinjaman pendidikan yang ditanggung anak muda Sabah hari ini.
Dakwaan itu berdasarkan perkara yang dibangkitkan Ketua Wira Warisan, Terence Au mengenai ketiadaan sebarang usaha kerajaan negeri membantu anak muda bagi mengatasi beban hutang pendidikan.
“Mengapa GRS, selepas lima tahun mentadbir, tidak pernah menjadikan isu beban hutang PTPTN sebagai keutamaan untuk anak-anak muda Sabah?
“Adakah GRS terlepas pandang beban kewangan yang ditanggung golongan muda, terutamanya dari kelompok B40? Kini apabila pilihan raya semakin hampir, barulah mereka ‘sedar’ kewujudan golongan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau membangkitkan perkara itu dalam maklumbalasnya terhadap kenyataan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berhubung cadangan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menghapuskan hutang pinjaman PTPTN dan Yayasan Sabah yang ditanggung anak Sabah.
Terence turut membangkitkan ketiadaan penyelesaian yang lebih baik dilaksanakan kerajaan GRS berhubung masalah hutang pinjaman pendidikan walaupun memerintah lebih lama berbanding Warisan.
“Jika cadangan Warisan untuk menghapuskan hutang PTPTN dianggap lemah, mengapa GRS tidak tampil dengan penyelesaian yang lebih baik atau langkah penambahbaikan?
“Warisan hanya sempat mentadbir selama 26 bulan sebelum dijatuhkan melalui permainan politik, namun dalam tempoh singkat itu, kami sudahpun mula mengambil langkah reformasi.
“Sebaliknya, GRS telah menikmati pentadbiran selama lima tahun tanpa gangguan, dengan penjajaran kepada kerajaan Persekutuan serta akses kepada sumber Yayasan Sabah. Jadi apa alasan mereka?
“Mampukah GRS menunjukkan tahap keprihatinan dan tindakan yang sama dalam tempoh pentadbiran mereka yang lebih lama,” katanya.
Beliau turut bertanya kepada kerajaan di mana dasar sebenar GRS dalam hal bantuan pengurangan hutang, pengembangan biasiswa atau pembiayaan pendidikan yang mudah diakses.
“Datuk Nizam ada menyebut program seperti dermasiswa dan bantuan pendaftaran tetapi di manakah data keberkesanan program-program tersebut? Berapa ramai pelajar yang menerima manfaat dan apakah hasil jangka panjangnya?
“Jika GRS begitu yakin dengan pencapaian mereka, maka tunjukkanlah data. Bersikap telus dan jangan terus mengelak isu yang benar-benar membebankan rakyat,” katanya.
Jelasnya, berbeza dengan GRS, Warisan mengambil langkah konkrit dengan menubuhkan Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah bagi menangani keperluan pendidikan tanpa hanya bergantung kepada Putrajaya.
“Adakah GRS pernah memperkenalkan reformasi setara atau hanya menjenamakan semula program-program sedia ada dari kerajaan Persekutuan, lalu mendakwa ia sebagai pencapaian sendiri?
“Daripada terus mengulang naratif politik lama, Datuk Nizam seharusnya tampil dengan fakta dan hasil sebenar.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui sama ada GRS benar-benar telah menjalankan tanggungjawab terhadap golongan muda, atau sekadar mengambil kesempatan atas sentimen musim pilihan raya,” katanya.
Beliau menegaskan hutang PTPTN bukanlah satu gimik politik, sebaliknya beban sebenar yang ditanggung ribuan anak muda Sabah.
Tegasnya, jika GRS gagal bertindak sepanjang lima tahun mentadbir, maka ia menimbulkan persoalan besar mengenai keikhlasan dan keupayaan mereka.
“Datuk Nizam mengatakan pendidikan tidak wajar dipolitikkan, namun GRS hanya kelihatan ‘pemurah’ apabila musim pilihan raya menjelang. Ini bukan pentadbiran, ini manipulasi dan rakyat Sabah boleh melihatnya dengan jelas.
“Anak muda Sabah layak mendapat lebih daripada sekadar slogan. Mereka perlukan kerajaan yang benar-benar bertindak, bukan hanya membuat pengumuman projek mega yang sampai hari ini belum menjadi kenyataan,” katanya. – Info X