KOTA MARUDU: Guru lelaki melecur di bahagian tangan dan kaki ketika cuba menyelamatkan diri selepas rumah didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Wani Tagaroh, Jalan Pinatau, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, mangsa berusia 45 tahun yang cedera menerima rawatan di Hospital Kota Marudu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.18 malam.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, sebuah jentera dengan kekuatan seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi kebombaan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati sebuah rumah terbakar 90 peratus, dengan seorang penghuni lelaki melecur di bahagian tangan dan kaki.
“Mangsa kemudian diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba mengawal kebakaran menggunakan satu aliran dengan sumber air daripada jentera.
“Operasi terkawal 9.43 malam dan operasi ditamatkan pada 10.39 malam.
“Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan anggota bomba,” katanya. – Info X