Search

HABUAN, TEKANAN PEMERINTAH PUNCA ADUN WARISAN LOMPAT PARTI – LORETTO

February 18, 2023

admin

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengaku antara punca Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalkan Parti Warisan (Warisan) adalah disebabkan habuan serta tekanan daripada parti pemerintah.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto J Padua berkata, mungkin dalam kalangan ADUN berkenaan hanya berfikir dengan menyertai parti memerintah, barulah mereka mempunyai hala tuju untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mesti mengakui mana-mana ADUN meninggalkan parti asal disebabkan tekanan daripada pihak pemerintah atau disebabkan oleh janji serta faktor habuan wang ringgit.

“Kita masih tertanya-tanya pernahkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap kenyataan terbuka Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador suatu ketika dulu yang menyatakan bahawa ahli politik datang ke Sabah (membeli kraftangan) dan selepas daripada itu, ada ADUN yang melompat.

“Adakah kerajaan maklum berkaitan perkara ini sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah menjadi mangsa akibat daripada ADUN serta Ahli Parlimen mereka melompat pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Loretto berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang menyifatkan dakwaan pembelian wakil rakyat Warisan yang ditimbulkan presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, baru-baru ini merupakan satu fitnah.

Menurut Loretto, kenyataan dibuat Mohd Shafie di Parlimen adalah untuk meminta agar pihak berkuasa termasuk SPRM menyiasat tindakan ADUN Warisan yang keluar meninggalkan parti.

“Hal ini kerana salah satu ADUN yang melompat itu sebelum ini sudah membuat rakaman video mengatakan bahawa dia pernah ditawarkan duit serta jawatan untuk keluar daripada parti namun memilih bersama Warisan.

“Rakyat sudah bijak….Kita ingin bertanya adakah semua ADUN ini akan keluar sekiranya Warisan adalah sebahagian daripada parti pemerintah.

“Sebagai rekod, Shafie tidak pernah meninggalkan parti asalnya hanya disebabkan parti itu tidak lagi berkuasa atau menjadi pemerintah,” katanya. – Info X