Search

Hajat lawat ibu mentua tak kesampaian, penunggang motosikal maut kemalangan

January 1, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Niat seorang lelaki untuk melawat ibu mentuanya yang sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat BSA Kolombong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.55 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30-an yang menunggang motosikal dari arah Inanam dipercayai dalam perjalanan menuju ke hospital berkenaan sebelum terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai bergerak lurus ketika lampu isyarat berwarna merah sebelum melanggar bahagian sisi kiri MPV yang sedang membelok ke kanan ke arah BSA Kolombong selepas lampu isyarat bertukar hijau.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Pembonceng motosikal dan pemandu kenderaan MPV turut mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pegawai penyiasat menjalankan siasatan di lokasi kemalangan di persimpangan lampu isyarat BSA Kolombong, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, manakala kenderaan MPV terbabit mengalami kerosakan pada bahagian sisi kiri.

“Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian termasuk mengambil gambar serta lakaran rajah kasar, mengesan saksi bebas, selain menahan kenderaan terlibat untuk pemeriksaan lanjut oleh Puspakom.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian turut diperoleh bagi membantu siasatan,” katanya.

Kasim berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529 222,” katanya. – Info X