KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini mengetuai jemaah Kabinet negeri memberi penghormatan terakhir kepada pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), mendiang Tan Sri Joseph Kurup.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.22 petang kelmarin ketika menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang dengan menaiki pesawat komersial, malam tadi.
Jasad bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu ditempatkan di pusat pengurusan jenazah Fook Lu Siew di Batu 2, Jalan Tuaran, di sini, sebelum dikebumikan pada Selasa depan.
Hajiji turut menyampaikan rasa simpati dan takziah kepada balu mendiang, Puan Sri Melinda Mak dan anak mendiang yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Kurup.
“Bagi pihak Kerajaan Sabah, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Tan Sri khususnya Puan Sri Melinda dan juga Datuk Arthur Kurup.
“Beliau (mendiang) ialah seorang tokoh pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri Sabah dan juga negara. Saya pernah berkhidmat sebagai Pembantu Menteri beliau pada 1994. Banyak yang saya belajar dan menerima pandangan nasihat daripada beliau,” katanya.
Katanya, jasa dan khidmat bakti mendiang akan terus diingati dan beliau turut mengakui rakyat negeri ini kehilangan seorang pemimpin yang berdedikasi berikutan pemergian bekas Ahli Parlimen Pensiangan itu.
Hajiji turut berkongsi beberapa pengalaman manis sepanjang bekerja bersama mendiang sebelum ini.
Turut memberi penghormatan terakhir bersama Ketua Menteri ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam; Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Turut memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan negeri, Datuk Phoong Jin Zhe.- Info X