KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa usaha bersepadu dilaksanakan bagi mengurangkan penagih dadah dan pengguna bahan terlarang itu di Sabah.
Katanya, bagi tujuan itu, tumpuan perlu diberikan terhadap usaha untuk membendung permintaan dan penawaran dadah yang berlaku di negeri ini.
Jelasnya, Sabah merekodkan peningkatan sebanyak 7.5 peratus jumlah penagih dadah dan pengguna bahan terlarang itu dengan 9,207 dikesan pada tahun lalu berbanding 8,567 pada 2023, mewakili 4.8 peratus daripada statistik nasional.
“Sabah mencatatkan 246 kadar penagihan, selari dengan sasaran nasional iaitu tidak lebih daripada 400 penagih dan penyalah guna dadah bagi setiap 100,000 penduduk.
“Angka ini menunjukkan peningkatan di seluruh negara dan hampir semua negeri. ‘Trend’ peningkatan ini menjadi cabaran dan kebimbangan kepada kita semua.
“Oleh itu, usaha berterusan dan bersepadu perlu digembeleng untuk menangani masalah ini, terutamanya dalam mengekang penawaran dan permintaan dadah di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Negeri (MTMD) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata pada tahun ini, fokus akan diberikan untuk menghijaukan dua kawasan berisiko tinggi, iaitu Penampang dan Balung di Tawau.
“Bagi memastikan kita berjaya mencapai penghijauan kawasan Penampang dan Balung, Presiden Majlis Perbandaran Penampang (MPP) dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang juga pengerusi MTMD daerah telah dilantik sebagai penyelaras kawasan berisiko tinggi di daerah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata usaha juga akan diambil untuk mengekalkan status ‘hijau’ tujuh kawasan berisiko tinggi, iaitu Likas, Inanam, Luagan, Patikang dan Tuarid Taud, Tanjung Batu serta Merotai.
Dua kertas kerja dibentangkan pada mesyuarat itu, termasuk untuk program perintis ‘Kampung Sejahtera Tanggungjawab Bersama’ oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah.
Ketua Menteri menggesa agar semua ahli yang hadir pada mesyuarat itu dapat memberi perhatian dan mengambil peluang untuk mengutarakan pandangan serta syor yang boleh dilaksanakan dalam usaha membanteras masalah dadah di Sabah.
Katanya, langkah itu penting bagi mencapai matlamat Dadah Terkawal 2025.
Beliau berkata dadah masi Musuh Nombor 1 Negara yang memerlukan kerjasama semua ahli mesyuarat untuk komited dan berganding bahu membanteras ancaman itu demi masa depan generasi akan datang.
Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Pengarah AADK Sabah yang baharu, Elmariah Chung. – Info X