TAWAU: Perbuatan terkutuk seorang lelaki yang dipercayai merogol anak saudara sendiri terbongkar apabila mangsa berusia 19 tahun disahkan hamil, sebelum suspek ditahan polis kurang 24 jam selepas laporan dibuat, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan polis dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 52 tahun selepas dimaklumkan mangsa yang juga anak saudaranya mengenai kejadian berkenaan.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam di sebuah rumah di Taman Semarak ketika mangsa berada di kediaman wanita terbabit.
“Mangsa mendakwa dirogol lelaki yang juga adik kepada suami wanita berkenaan sebelum dibawa ke klinik oleh ibu saudaranya untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berjaya menahan suspek warga asing berusia lingkungan 40-an di sebuah bilik sewa sekitar Bandar Sabindo kira-kira jam 3.50 petang, semalam.
“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol sumbang mahram serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah seksual, khususnya yang melibatkan ahli keluarga, dan menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kejadian seumpama itu bagi membolehkan tindakan tegas diambil. – Info X