KOTA KINABALU: Kelab Taekwondo Han Loong mengotakan sasaran sekurang-kurangnya mempertahankan kedudukan tempat ketiga Kejohanan Taekwondo Remaja dan Terbuka Sabah di Keningau pada 2-5 Mac lalu.
Kejohanan berlangsung di Dewan Badminton Kompleks Sukan Keningau itu menyaksikan Han Loong merangkul sembilan pingat emas, lima Perak dan lapan gangsa untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan walaupun gagal mengulangi pencapaian 13 pingat emas tahun lalu.

Pemenang pingat serta peserta acara kyorugi Han Loong bersama Master Ervin Ambil, Master Liew Chee Ming dan jurulatih, Alex Emmanuel Siaw.
“Persaingan dalam kejohanan ini memang sengit. Sebab itu kami gembira dapat sekurang-kurangnya kekalkan tempat ketiga keseluruhan iaitu pencapaian sama ketika penampilan pertama kami pada kejohanan ini tahun lalu.
“Syabas kepada semua anggota pasukan,” kata presiden Kelab Han Loong, Roger Chaw yang juga pengurus pasukan.
Han Loong menang enam pingat emas, lima Perak dan enam gangsa dalam acara poomsae serta tiga emas dan dua gangsa dalam acara kyorugi.
“Pingat emas dalam acara kyorugi itu adalah diluar jangka dan merupakan bonus dan suntikan semangat untuk kami berusaha lebih gigih menghadapi kejohanan ini tahun depan,” kata Roger.
Pingat emas Han Loong dalam acara kyorugi dimenangi Rouel Dangin dalam kategori 55-59kg lelaki 15-17 tahun, Nur Fadhilah Wong (90kg ke atas perempuan 12-14 tahun) dan Sammy Yong Feng Yue (44-46kg perempuan 15-17 tahun).
Pingat gangsa dimenangi Joel Veritinus Santiong (55-59kg lelaki 15-17 tahun) dan Ryan McArthur Freddie Jude (44-46kg lelaki 12-14 tahun).
Kejohanan disertai 17 pasukan itu menyaksikan Kelab Taekwondo Master Barry Voon (MBV) muncul juara manakala tempat kedua ialah Kelab Taekwondo Borneo Tiger dan keempat Kelab Taekwondo Perdana. – Info X