KINABATANGAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya ditemui tanpa pengemudi di sungai Kampung Bengkala Buang Sayang Suan Lamba, di sini, hari ini.
Mangsa Alner Kalim berusia lingkungan 20 tahun dikatakan keluar pada jam 11 pagi tadi untuk membuat ujian bot miliknya di sungai berkenaan.
Bagaimanapun orang kampung telah menemui botnya karam dan mangsa tidak berada di lokasi dikhuatiri hilang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menerima panggilan kecemasan itu jam 4.38 petang.
Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota dari BBP Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat seterusnya menjalankan aktiviti surface rescue di sekitar lokasi.
“Bagaimanapun mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyatan media, hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian ditangguhkan pada 6.40 petang tadi dan akan disambung semula pad pagi esok. – Info X