KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mengharamkan penjualan kimia berbahaya seperti asid sulfurik pekat berikutan peningkatan kes simbah asid hingga menyebabkan kecederaan serius mangsa sejak kebelakangan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata kerajaan persekutuan dan negeri perlu memandang serius perkara itu dan mengambil langkah segera mengharamkan penjualan asid secara terbuka.
Katanya, pihak berkuasa perlu melihat penjualan asid yang kini dibuat secara terbuka dari sudut negatif dan mengkaji semula kesesuaian lesen untuk menjual bahan kimia berbahaya itu atas faktor keselamatan.
“Kita bimbang tindakan kejam menyimbah asid akan menjadi ‘trend’ sesiapa sahaja yang berniat zalim untuk menyerang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan mengenai kes menyimbah asid yang baru-baru ini disasar terhadap seorang pemain bola sepak.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata kebelakangan ini bahan kimia itu sering disalah guna untuk dijadikan senjata yang mengancam nyawa manusia kerana ia mudah diperolehi tanpa kawalan yang ketat.
Sehubungan itu, Masiung berkata, penjualan asid berbahaya wajar diharamkan di negara ini, kerana dibimbangi perbuatan menyimbah bahan kimia berbahaya itu menjadi ikutan sesiapa saja untuk menyerang mangsa termasuk pemimpin.
“Ketika ini bahan kimia berbahaya seperti asid sulfurik, hidroklorik dan nitrik pekat begitu mudah dibeli di kedai perkakasan atau ‘hardware’. Asid pekat itu juga mudah diperolehi menerusi platform e-dagang dengan harga RM50 ke bawah,” katanya. – Info X