Search

Harga tiket tidak masuk akal, Bung ‘hentam’ syarikat penerbangan

April 16, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, semalam, ‘menghentam’ syarikat penerbangan berhubung harga tiket yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal, terutama tambang perjalanan dari Semenanjung ke Sabah.

Katanya, selain harga tiket yang mahal, jumlah penerbangan juga tidak banyak sehingga menyukarkan rakyat Sabah yang berada di Semenanjung untuk balik ke kampung halaman masing-masing.

“Dalam bulan Ramadhan tahun ini, lonjakan harga tiket termasik penerbangan domestik amat tidak masuk akal, bayangkan tiket AirAsia Sandakan – Kota Kinabalu ‘one way’ RM700.

“Tiga hari yang lalu saya ada menghubungi Menteri Pengangkutan dan meminta tambahan penerbangan di antara Sandakan dan Kota Kinabalu, menteri memberitahu syarikat penerbangan bersetuju utk mempertingkatkan tambahan penerbangan pada 18, 19, 20 April ini.

“Persoalan sekarang ramai penduduk rakyat negeri ini di Semenanjung yang hendak balik beraya di kampung halaman di Sabah, malangnya harga tiket terlalu mahal, dan tidak boleh diterima oleh otak yang waras.

“Beribu-ribu ringgit, ‘one way’ sahaja ada yang RM3,000, saya meminta menteri pengangkutan, bicaralah dengan pihak syarikat penerbangan, janganlah menghisap darah rakyat, rakyat Sabah bukannya semua berkemampuan, mereka hanya sekadar nak balik beraya dan berjumpa sanak-saudara setahun sekali,”.

Beliau yang juga Ketua Umno Sabah berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Sementara itu, Bung berkata, syarikat penerbangan Firefly juga dikatakan akan mula beroperasi di laluan domestik di negeri ini bermula bulan depan.

“Siapa pun syarikat penerbangan yang melakukan operasi, tolong jangan terlalu mengaut keuntungan, jangan dera rakyat Sabah,” katanya. – Info X