KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengajak rakyat terutama generasi muda supaya terus memupuk semangat patriotisme, mengekalkan perpaduan dan menjaga keharmonian kepelbagaian bangsa serta agama di negeri ini.
Dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini, beliau berkata perpaduan kaum adalah kunci kekuatan rakyat Sabah yang perlu terus dipertahankan, terutama pada era kemodenan masa kini.
Katanya, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan bersama pada 31 Ogos bukan sekadar untuk diingati tetapi perlu dihayati secara mendalam bagi memupuk semangat patriotik serta menghargai pengorbanan pejuang tanah air yang menuntut kemerdekaan.
“Saya percaya dua sambutan penting ini mampu menjadi titik penyatuan seluruh rakyat Malaysia di Sabah yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.
Hajiji berkata tema Hari Kebangsaan tahun ini, Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina sebuah negara yang maju, inklusif, dan harmoni, di samping memastikan nikmat kemakmuran negara dikongsi secara adil oleh seluruh rakyat.
Katanya, Hari Sabah yang bertemakan Sabah Tanah Airku pula mencerminkan rasa cinta, bangga dan kesetiaan rakyat kepada negeri ini.
“Tema ini juga membawa mesej bahawa pentingnya semangat kebersamaan dan rasa kekitaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum bagi memelihara keharmonian, yang akan menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan negeri,” katanya.
Ketua Menteri turut menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini agar mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah di rumah, pejabat, kenderaan mahupun premis perniagaan masing-masing, sebagai usaha memupuk semangat patriotik dan cintakan negara.
“Marilah kita terus bersatu menolak anasir yang cuba memecah-belahkan keharmonian rakyat di negeri ini.
“Semoga sambutan ini menjadi wadah untuk kita terus memperkukuh jati diri, memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian demi kemajuan negeri ini,” katanya. – Info X