Search

Hari Malaysia: Teguhkan kembali semangat, prinsip asas MA63 – Tun Musa

September 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menegaskan perlunya semangat dan prinsip yang mendasari Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diperteguhkan kembali.

Menerusi perutusan Hari Malaysia yang akan disambut pada Rabu, Tun Musa mengingatkan perkara berkaitan hak dan kepentingan Sabah di bawah MA63 perlu terus ditangani melalui rundingan yang ikhlas dan membina.

Perkara itu, katanya termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperolehi Persekutuan dari Sabah.

“Pada Hari Malaysia ini, kita juga harus memperteguh kembali semangat dan prinsip yang mendasari Perjanjian Malaysia 1963.

“Perkara-perkara berkaitan hak dan kepentingan Sabah di bawah MA63, termasuk pemberian khas bersamaan 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh Persekutuan dari Sabah, harus terus ditangani melalui rundingan yang ikhlas dan konstruktif serta berlandaskan semangat pembentukan Malaysia,” katanya.

Tun Musa berkata, Sabah dan Sarawak memegang peranan yang amat penting dalam pembentukan serta pembangunan berterusan Malaysia.

Katanya, kedua-dua wilayah itu adalah rakan yang tidak terpisah dalam Persekutuan dan memberi sumbangan yang amat besar kepada kestabilan politik, pembangunan ekonomi, kekayaan sumber alam serta warisan budaya negara.

Atas sebab itu, tegasnya, sumbangan dan aspirasi kedua-dua negeri harus terus diiktiraf dalam usaha bersama membina masa depan negara.

Bagaimanapun, katanya pada masa yang sama, masih banyak yang perlu dilakukan, khususnya di Sabah.

“Jurang pembangunan perlu terus ditangani dengan memberi perhatian yang lebih serius kepada infrastruktur asas, bekalan air dan elektrik yang boleh dipercayai, jalan raya dan jaringan perhubungan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta peluang ekonomi yang bermakna.

“Pembangunan mesti sampai ke setiap daerah, pekan, kampung dan masyarakat luar bandar agar tiada sesiapa yang tercicir.

“Sabah yang lebih kuat dan makmur akhirnya akan menjadikan Malaysia lebih kuat dan makmur,” katanya.

Tun Musa juga mengingatkan nilai-nilai yang sejak sekian lama menjadi keistimewaan Sabah tidak dilupakan dalam membicarakan soal hak dan pembangunan.

Katanya, Sabah adalah tempat masyarakat pelbagai etnik, budaya dan agama hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni sejak turun-temurun.

“Tiada tempat bagi ekstremisme kaum atau agama di negara kita. Tradisi toleransi, saling menghormati dan menerima perbezaan yang menjadi identiti Sabah harus terus dipelihara dan diperkukuh demi generasi akan datang.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya mereka yang diberikan amanah kepimpinan dan mereka yang bercita-cita untuk memegang jawatan awam, agar sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan peribadi atau politik yang sempit.

“Keuntungan politik tidak seharusnya dikejar dengan mengeksploitasi sentimen kaum atau agama. Perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat, namun ia harus disuarakan secara bertanggungjawab, berhemah dan berasaskan fakta.

“Kepimpinan akhirnya harus dinilai berdasarkan idea, penyelesaian dan dasar yang mampu meningkatkan kehidupan rakyat serta membawa negara kita ke hadapan,” katanya.

Katanya, rakyat Sabah juga harus sentiasa peka terhadap cabaran perubahan iklim dan kejadian cuaca ekstrem yang semakin serius.

Jelasnya, banjir, tanah runtuh dan bencana alam lain, sama ada di negara ini atau di seluruh dunia memberi peringatan mengenai pentingnya tahap kesiapsiagaan yang lebih tinggi, infrastruktur dan pembangunan lebih berdaya tahan serta tanggungjawab bersama yang lebih besar dalam memelihara alam sekitar.

“Hari Malaysia bukan cuma sambutan ulang tahun. Ia merupakan peringatan tentang janji yang dimeterai 63 tahun yang lalu serta tanggungjawab yang kita pikul bersama pada hari ini, untuk memelihara perpaduan, menghormati asas-asas pembentukan negara, mempertahankan keamanan dan kestabilan serta memastikan kemajuan dan kemakmuran dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Dengan semangat saling menghormati, kepercayaan dan kesatuan matlamat, saya yakin kita mampu mengatasi segala cabaran yang mendatang dan terus membina sebuah Malaysia yang aman, progresif, makmur dan dihormati,” katanya.

Mengenai suasana sambutan Hari Malaysia kali ini, Tun Musa berkata Hari Malaysia tahun ini disambut dalam suasana dunia yang terus berdepan ketidaktentuan.

Katanya, konflik dan ketegangan geopolitik, khususnya di Timur Tengah dan beberapa bahagian lain di dunia, gangguan terhadap perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan, tekanan kos sara hidup serta kesan perubahan iklim yang semakin ketara mengingatkan bahawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran tidak boleh sesekali dipandang ringan.

“Dalam menghadapi ketidaktentuan ini, Malaysia harus terus berdaya tahan, bersatu padu dan berpandangan jauh.

“Kita mesti terus memperkukuh ekonomi, memelihara kestabilan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat kekal menjadi teras pembangunan.

“Ketahanan ekonomi harus diterjemahkan kepada taraf kehidupan yang lebih baik, peluang pekerjaan yang bermakna, peningkatan pelaburan serta peluang yang dapat dinikmati secara adil di seluruh negara,” katanya.

Tegasnya, kekuatan terbesar Malaysia terletak pada rakyatnya yang dikurniakan kepelbagaian kaum, budaya, agama dan tradisi yang begitu kaya.

Kepelbagaian itu, katanya tidak harus dibiarkan menjadi punca perpecahan, sebaliknya harus terus menjadi sumber kekuatan dan kebanggaan.

“Walaupun berbeza latar belakang, kita berkongsi sebuah negara, satu takdir dan satu masa depan,” katanya. – Info X