KOTA KINABALU: Sambutan Hari Pahlawan peringkat Sabah berlangsung penuh penghormatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan wira negara.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Kadzim M Yahya serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Turut hadir, barisan bekas anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh negeri.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua yang menjayakan majlis berkenaan.
“Kehadiran amat memberangsangkan bukan sahaja dari kalangan kenamaan, malah turut membabitkan masyarakat umum serta kakitangan kerajaan.

“Sokongan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam sambutan Hari Pahlawan ini amat membanggakan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya. – Info X