KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah berpuas hati terhadap situasi hari pertama apungan harga ayam di negeri ini.
Pengarahnya, Georgie Abas berkata, pemeriksaan dan pemantauan pihaknya mendapati bekalan ayam mencukupi dan dijual pada harga yang berpatutan.
Katanya, tiada sebarang pembelian panik berlaku sebelum penamatan subsidi ayam, manakala peniaga didapati mematuhi perundangan di bawah seliaan KPDN.
Bagaimanapun, katanya penguatkuasaan dan pemantauan tetap dilaksanakan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi memastikan peniaga tidak mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah dan memanipulasi harga ayam di peringkat peruncit.
“Pegawai Penguatkuasa KPDN Sabah akan sentiasa berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan sebagai langkah memastikan bekalan di pasaran mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga yang berpatutan.
“Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah juga dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran kepada peniaga supaya mematuhi undang-undang dan mengamalkan perniagaan yang beretika,” katanya dalam satu kenyataan, selepas tinjauan jualan ayam di Pasar Besar Kota Kinabalu dan pasar raya berhampiran, di sini, hari ini.

Sementara itu, Georgie berkata setakat Januari hingga 31 Oktober 2023, KPDN Sabah melaksanakan sebanyak 68,400 pemeriksaan di premis seluruh negeri dengan sebanyak 1,162 kes dihasilkan membabitkan kesalahan mengikut AKHAP 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, kes itu membabitkan nilai rampasan sebanyak RM5.6 juta, diikuti kompaun sebanyak RM189,450 dan denda sebanyak RM123,000.
“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah perundangan ini.
“KPDN sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga. Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran aduan yang disediakan,” katanya.
Aduan kepada KPDN boleh disalurkan melalui aplikasi Whatsapp 019-279 4317 / 019-848 8000; Portal Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; Emel: [email protected] dan Ez ADU KPDN.
Katanya, aduan juga boleh disalurkan melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (03-88826088 / 6245; surat rasmi ke Pejabat KPDN yang berdekatan dan Bilik Gerakan KPDN Negeri. – Info X