TUARAN: Inisiatif Kebun Dapur yang dilancarkan di sini, pada Ahad adalah antara langkah strategik bagi memperkukuh keterjaminan makanan negeri dan memperkasa ekonomi isi rumah, khususnya di luar bandar.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata program itu mampu mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan penghasilan makanan sendiri meliputi penanaman sayur-sayuran dan herba, penternakan kecil serta perikanan air tawar berskala isi rumah.
Katanya, amalan kebun dapur sudah lama dipraktikkan dan kini diteruskan secara lebih tersusun sebagai usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh keterjaminan makanan serta memperkasa masyarakat melalui pendekatan pertanian berskala kecil yang praktikal, mudah dilaksanakan dan memberi impak segera.
“Dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar serta peningkatan kos sara hidup, keupayaan isi rumah untuk menghasilkan sendiri sebahagian keperluan makanan adalah satu langkah yang bijak dan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Jelajah Kebun Dapur anjuran kementeriannya yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Padang Istiadat, di sini, pada Ahad.
Jamawi berkata, sebahagian hasil kebun dapur juga boleh dipasarkan bagi menjana pendapatan tambahan melalui 16 Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (APCC) sedia ada dan sembilan lagi akan dilengkapkan bagi meliputi semua kawasan Parlimen di negeri ini.
Jelasnya, pendekatan kebun dapur membolehkan keluarga menanam sayur-sayuran serta tanaman jangka pendek secara terancang di samping menjalankan penternakan ikan secara kecil-kecilan.
“Ini sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan harian dan berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Jamawi berkata, inisiatif kedua di bawah Kebun Dapur ialah Program Mentor-Mentee yang melibatkan 18 anak muda berusia 40 tahun ke bawah yang dipilih sebagai mentor.
“Mentor-mentor ini akan membantu membimbing dan memajukan anak muda yang berminat menceburi kebun dapur serta bidang pertanian,” katanya.
Jelasnya, usaha itu menunjukkan komitmen padu kerajaan dalam memperkasa ekonomi isi rumah melalui aktiviti pertanian berskala kecil yang mudah dilaksanakan, berimpak cepat dan berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan.
Jamawi turut memaklumkan bahawa beberapa agensi kewangan menawarkan kemudahan pinjaman kepada golongan belia dan usahawan pertanian, termasuk Perbadanan Pinjaman Sabah yang menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 dengan kadar faedah sifar atau rendah, selain kemudahan daripada Yayasan Usaha Maju dan Agrobank yang mengenakan kadar faedah serendah tiga peratus.
Selain itu, pendekatan ketiga ialah membawa usahawan serta industri makanan seperti pengusaha keropok amplang dan sambal ke arah pendigitalan perniagaan.
Katanya, ramai usahawan dan selebriti di Semenanjung berjaya memasarkan produk secara digital melalui platform seperti TikTok dan kaedah sama boleh dimanfaatkan oleh usahawan tempatan.
“Saya membawa diri saya sebagai seorang petani, penternak dan pekebun. Saya juga mahu pegawai-pegawai saya mempunyai semangat yang sama dan lebih peka melihat keperluan penduduk setempat,” katanya. – Info X