TAWAU: Taktik membawa bahan api dalam kuantiti kecil bagi mengelak dikesan berakhir apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot kargo tempatan disyaki ‘runner minyak’ di perairan Tawau, pagi semalam.
Pengarah APMM Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah Tawau menuju ke Pulau Sebatik sebelum dipintas kira-kira 0.8 batu nautika utara Muara Sungai Aji Kuning.
Katanya, pemeriksaan ke atas bot yang dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun menemui 40 gelen petrol dianggarkan berjumlah 1,200 liter serta tiga tong gas LPG berisi yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit sah.
“Juragan bot juga gagal mengemukakan lesen pendaftaran bot yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.
“Bot, enjin dan semua muatan dirampas sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM46,000.

Beliau berkata, modus operandi membawa bahan api dalam kuantiti kecil tetapi dilakukan secara berulang merupakan antara taktik sindiket penyeludupan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau yang sering menjadi laluan rentas sempadan,” katanya.
Dalam pada itu Ariffin berkata, Maritim Malaysia memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti jenayah di laut dan memastikan aset rondaan sentiasa bersedia digerakkan pada bila-bila masa.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera,” katanya. – Info X