KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran sebarang maklumat tidak sahih termasuk gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes Zara Qairina.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan segelintir pihak berkongsi maklumat tidak tepat mengenai siasatan kes berkenaan bukan sahaja boleh menjejaskan proses siasatan, malah berpotensi menggugat keadilan kepada semua pihak.
“PDRM mengesan wujudnya penyebaran maklumat serta gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes ini yang dimuat naik dan dikongsi oleh pihak tertentu di media sosial.
“Maklumat yang dikongsi adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jelasnya, tindakan sebegini bukan sahaja boleh menjejaskan perjalanan siasatan yang sedang berlangsung, malah berupaya mengganggu keadilan kepada semua pihak.
“Segala proses siasatan termasuk berhubung isu bedah siasat (post-mortem) dijalankan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan untuk menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang tidak sahih, termasuk pendedahan maklumat berkaitan siasatan kes ini,” katanya.
Mohd Khalid berkata, PDRM ingin mengingatkan bahawa perbuatan itu adalah satu kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu larangan mendedahkan maklumat identiti, alamat, nama sekolah, dan gambar kanak-kanak yang terlibat.
“Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan pendedahan maklumat; dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.
Beliau berkata, PDRM menasihatkan bahawa pematuhan kepada undang-undang adalah asas kepada keamanan dan kesejahteraan negara.
“Sehubungan itu, sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan sedia ada.
“PDRM kekal komited untuk memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara demi kepentingan,” katanya. – Info X