KOTA KINABALU: Tindakan sekumpulan rakyat Malaysia dipercayai warga Sabah dan Sarawak yang menghina Jalur Gemilang di luar negara hanya berisiko menjejaskan reputasi rakyat negara ini yang belajar dan bekerja di negara terbabit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata menghina lambang kedaulatan negara tidak mencerminkan langsung budaya warga Sabah dan Sarawak yang penuh adab dan santun.
Merujuk tindakan sebuah kumpulan menamakan diri sebagai ‘Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM)’ Australia, beliau berkata kebebasan bersuara bukan bermakna boleh melakukan sebarang tindakan tanpa apa-apa kesan.

“Kerajaan MADANI menjamin kebebasan bersuara. Namun, kebebasan bukan bermakna seseorang terlepas daripada implikasi atas tindakannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Ahad.
Berikutan perbuatan itu, Mustapha menggalakkan orang ramai membuat aduan rasmi kepada pihak polis supaya kandungan media sosial yang memaparkan Jalur Gemilang secara terbalik disiasat mengikut undang-undang yang berkaitan.
Sementara itu, Mustapha berkata situasi hari ini berbeza berbanding apa yang berlaku lebih 20 tahun lalu ketika perjuangan menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dianggap sebagai isu yang sensitif.
“Lebih 20 tahun lalu, perjuangan MA63 dianggap isu sensitif, ada yang ditahan pihak berkuasa dan berdepan dengan tindakan undang-undang.
“Hari ini, hak Sabah dan Sarawak boleh dibincangkan secara terbuka, malah menjadi agenda utama Kerajaan MADANI,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh hampir empat tahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebanyak 12 perkara dalam MA63 berjaya diselesaikan, manakala pemberian khas interim Sabah meningkat daripada RM26.7 juta kepada RM1.5 bilion setahun.
Katanya, rundingan mengenai tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikutip Persekutuan di Sabah juga diteruskan.
“Rakyat boleh menilai sendiri hasil perjuangan melalui rundingan dan tindakan berbanding provokasi sebegini,” katanya.
Pada Sabtu, kumpulan yang menamakan diri SSKM Australia dalam satu kenyataan media menjelaskan tindakan mereka memaparkan bendera Malaysia terbalik ketika demonstrasi sempena Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianjurkan kumpulan berkenaan.
Kumpulan itu mendakwa sambutan di hadapan Bangunan Parlimen Victoria, Melbourne itu memberikan makna penting kepada seruan mereka supaya persoalan sejarah, hak rakyat dan masa depan politik Sabah serta Sarawak mendapat perhatian antarabangsa. – Info X