RANAU: Sebuah homestay di Kundasang, di sini, ranap akibat tanah runtuh berikutan hujan lebat, hari ini.
Kejadian jam 5.30 petang itu, bagaimanapun tidak membabitkan kehilangan nyawa berikutan tiada penghuni ketika kejadian itu berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.32 petang.
Katanya, sepasukan tiga anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi didapati berlaku kejadian tanah runtuh dan menyebabkan kerosakan sebuah homestay.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan tindakan pasukan bomba membuat pemantauan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian menasihatkan penduduk di sekitar untuk berpindah ke tempat selamat.
Sepasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Ranau turut berada di lokasi kejadian. – Info X