KOTA KINABALU: Kawasan pedalaman, pantai barat, Kudat dan Labuan diramal mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang hingga jam 3 petang, hari ini.
Berdasarkan amaran ribut petir dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada jam 11.30 pagi tadi, semua daerah di pantai barat dan bahagian Kudat di utara mengalami cuaca yang sama.
Bagi kawasan pedalaman, daerah yang terbabit dengan situasi cuaca lembab itu ialah Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan.
MetMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Katanya, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Amaran yang sama dikeluarkan MetMalaysia sejak awal pagi tadi di semua kawasan terbabit. – Info X