PENAMPANG: Kawasan hutan seluas kira-kira 12 hektar di Bukit Shantung Luyang, di sini, dilapor terbakar sejak jam 8 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.46 pagi.
Katanya, seramai 20 anggota dari tiga buah BBP termasuk BBP Lintas dan Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi bagi mengawal api daripada terus merebak.
“Kebakaran melibatkan kawasan hutan di atas bukit Jalan Shantung luyang seluas kira-kira 12 hektar.
“Setakat ini, pasukan Bomba masih sedang giat menjalankan operasi memadam kebakaran melalui tiga kawasan,” katanya.
Zeno berkata, BBP Penampang menjalankan operasi dari bahagian atas Bukit Shantung diikuti dengan BBP Kota Kinabalu melalui kawasan Taman Jindo.
“Manakala BBP Lintas pula melakukan pemadaman melalui Sekolah Kebangsaan (SK) Luyang.
“Operasi memadam kebakaran turut dibantu 15 anggota dari Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Sementara itu, pihak SK Luyang turut mengeluarkan makluman kepada ibu bapa untuk menjemput anak masing-masing pulang bermula jam 10.30 pagi tadi.
“Kebenaran diberikan ekoran ketiadaan bekalan elektrik serta persekitaran sekolah dipenuhi asap kerana hutan di bahagian belakang kantin sedang terbakar.
“Kebenaran pulang awal ini adalah dengan kebenaran Guru Besar sekolah,” katanya. – Info X