Search

Ibu, anak ditemui lemas dalam kolam

February 7, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Dua beranak ditemukan lemas di sebuah kolam berhampiran rumahnya di Kampung Nasib Kita, di sini semalam.

Wanita berusia dalam lingkungan 40 tahun dan anak lelakinya berusia tujuh tahun itu ditemukan penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan itu daripada orang awam semalam.

Katanya, sepasukan polis yang digerakkan ke lokasi kejadian mendapati kedua-dua mangsa ditemukan lemas oleh penduduk kampung.

“Setakat ini polis sedang menjalankan siasatan mengenai kejadian itu dan mayat kedua-dua mangsa terbabit telah dihantar ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat.

“Kita masih menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada ia ini adalah kes bunuh ataupun mati mengejut,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan lanjut setelah semua laporan bedah siasat diterima.

Jasmin menasihatkan orang ramai yang
mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar berhubung dengan balai polis berdekatan. – Info X