Search

Ibu, anak maut disyaki keracunan makanan selepas kenduri kahwin

August 13, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang wanita bersama anak lelakinya meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Batu 4, Jalan Apas, di sini, Sabtu lalu.

Mangsa berusia 36 tahun dan anak sulungnya berusia sembilan tahun itu dilaporkan mengalami cirit-birit serta muntah sebelum disahkan meninggal dunia pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 24 tahun yang memaklumkan ibu saudaranya dan anaknya meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan.

“Pengadu memaklumkan, kedua-dua mangsa menghadiri majlis berkenaan sebelum membawa pulang makanan yang dibungkus untuk suami mangsa.

“Suami mangsa turut mengalami cirit-birit dan muntah sejak pagi Ahad hingga petang Isnin selepas memakan makanan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Champin berkata, siasatan awal mendapati beberapa tetamu lain yang hadir ke majlis kenduri berkenaan turut mengalami simptom sama.

Katanya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut membantu polis menjalankan siasatan.

“Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk dibedah siasat dan pemeriksaan mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh,” katanya.

Beliau berkata, barang kes sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis, manakala siasatan lanjut termasuk mendapatkan keterangan saksi lain masih diteruskan. – Info X