Search

Ibu maut, dua anak cedera kereta bertembung lori

August 25, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang guru GiatMARA maut manakala dua anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kota Belud – Tuaran berhampiran Taman Nikmat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 pagi itu, mangsa, Norasida Mayur, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 42 tahun dalam perjalanan dari Kota Belud menuju Tuaran.

Katanya, kereta jenis Perodua Alza dipandu mangsa bersama tiga anaknya berusia 15 hingga 18 tahun pula datang dari arah bertentangan.

Superintendan Khairul Shah Peri.

“Setibanya di lokasi kejadian, Perodua Alza dipercayai memasuki laluan lori sebelum kedua-dua kenderaan terbabit dalam kemalangan.

“Akibat pelanggaran itu, Perodua Alza berpusing sebelum menghadap ke arah Tuaran, manakala lori berhenti di kawasan kedai makan di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut.

“Dua anak mangsa masing-masing berusia 15 dan 18 tahun cedera serta dibawa ke Hospital Kota Belud untuk menerima rawatan, manakala seorang lagi berusia 17 tahun tidak cedera.

“Pemandu lori juga tidak mengalami kecederaan dan sudah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Khairul Shah berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – Info X