KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melihat potensi kerjasama dalam kajian serta pelaksanaan program berkaitan wanita di Sabah.
Perkara itu dibincangkan pada kunjungan hormat Pengerusi IDS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Azizah berkata, kunjungan itu bertujuan meneroka ruang kerjasama di antara IDS dan KPWKM, khususnya dalam menjalankan kajian berkaitan wanita di Sabah serta menganjurkan program dan inisiatif yang dapat memberi manfaat kepada golongan berkenaan.
“Semoga kunjungan hormat ini membuka ruang kerjasama yang memberi manfaat kepada IDS dan KPWKM, terutama dalam memperkukuh agenda pembangunan wanita di Sabah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Nancy atas kesudian menerima delegasi IDS dan berharap perbincangan berlangsung dalam semangat permuafakatan serta mencapai objektif yang diharapkan.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Perancangan dan Kolaborasi Strategik, Norhadznita Mohammad Ilham; Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Wanita, Kanak-Kanak dan Keluarga, Norzie Fariza Suid; serta Timbalan Pengarah Bahagian Pelaksanaan Dasar Wanita, Jabatan Pembangunan Wanita, Isabela Senti Anak Rijeng.
Delegasi IDS turut disertai Ketua Bahagian Akar Umbi Ekonomi, Masmidah Arsah; Pegawai Khas Pengerusi IDS, Karim Maslin; dan Pegawai Penyelidik Bersekutu, Zainald Zainuddin. – Info X