Search

‘ikan bilis’ sudah dituduh, bagaimana dengan ‘jerung-jerung’ yang tinggal?

June 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: “Ikan bilis sudah ditangkap, sudah dituduh. Bagaimana pula dengan jerung-jerung yang tinggal? Dua orang saha dituduh? Bagaimana dengan tujuh orang lagi termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor?.

Itu persoalan yang dilontarkan oleh ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Cheing atau lebih dikenali sebagai Albert Tei, yang mendakwa dirinya sebagai pemberi maklumat (whistleblower) berhubung perbualan berbaur rasuah melibatkan beberapa ahli politik di Sabah berkaitan pengeluaran lesen cari gali mineral di Sabah.

Albert, yang didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, hari ini, tampil bersuara mempertikaikan ketelusan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila hanya dua individu didakwa, sedangkan beliau mendakwa ada tujuh lagi termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang belum dikenakan tindakan.

“Hari ini saya telah dituduh. Jadi saya ingin bertanya, ikan bilis sudah ditangkap, dituduh. Bagaimana dengan jerung-jerung yang tertinggal itu? Dua orang saja dituduh. Bagaimana dengan tujuh orang lagi, terutama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Ini semua daripada siapa?

“Saya dah serah segala bukti kepada SPRM. Malah yang lain-lain ADUN yang belum dituduh itu termasuk menteri, speaker semua. Itu bukti yang saya serah kepada SPRM lagi kukuh daripada ini dua orang. Adakah dua orang ini kabel dia tidak kuat,” soalnya.

Albert turut mempersoalkan tindakan SPRM yang memberikan notis dua minggu sebelum pendakwaan terhadapnya dibuat.

“Dalam sejarah Malaysia, saya dituduh, dia (SPRM) bagitahu awal dua minggu. Tengok lah kes SPRM yang lain, hari ini tangkap, esok tuduh.

“Saya ini siapa, saya ikan bilis saja, kenapa diberi special (keistimewaan) dua minggu. Untuk apa masa dua minggu? Adakah mereka ada sesuatu tengah dibincangkan di dalam,” katanya.

Menurutnya lagi, tindakan mendakwa dirinya adalah cara untuk menutup mulutnya namun beliau tidak berasa takut langsung terhadap tuduhan di mahkamah.

“Saya akan menuntut keadilan di mahkamah. Jangan mereka cuba fikir pakai ini cara untuk tekan saya. Ya, tuduh dua orang saya jamin hari ini, esok lagi tuduh satu, dua orang, saya jamin lagi. Jadi mereka beratur untuk dituduh, saya sentiasa kena datang di sini untuk dijamin, dijamin lagi. Betul kah tindakan mereka ini. Biarlah rakyat yang lihat perbuatan mereka.

“Jadi apabila membabitkan agenda politik, orang politik, saya ini sebagai pengadu, pendedah, pemberi maklumat whistleblower dalam hal ini. Saya pula dituduh dari awal Oktober tahun lalu,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa atas kelewatan siasatan SPRM yang didakwanya mengambil masa lebih lapan bulan meskipun beliau hadir membuat aduan secara rasmi beberapa kali sejak Oktober tahun lalu.

“Jadi, hari ini kerajaan, SPRM telah memberikan satu isyarat beracun kepada seluruh masyarakat Malaysia. Bila kita dedah rasuah orang besar, kita pula yang didakwa,” katanya sambil menyeru anak muda supaya terus berani melawan rasuah.

Albert berdepan pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 yang dikaitkan dengan permohonan lesen untuk mencari gali mineral di negeri ini. – Info X