KOTA KINABALU: Taktik sindiket yang mengikrar barangan perabot untuk menyeludup masuk minuman keras bernilai lebih RM300,000 di Pelabuhan Sepanggar, di sini, terbongkar baru-baru ini.
Kejadian kira-kira jam 2 petang, pada 28 Julai lalu itu berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah hasil penilaian risiko dan imej imbasan mesin pengimbas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, bertindak hasil pemeriksaan itu, pasukan serbuan yang terdiri daripada anggota cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar dan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu membuat penahanan sebuah kontena.
Katanya, kontena disyaki berisi minuman keras itu dipercayai cuba diseludup masuk ke dalam negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kontena yang ditahan, pasukan serbuan menemui sejumlah 19,800 liter minuman keras dengan anggaran nilai RM75,050 dan anggaran nilai duti serta cukai terbabit berjumlah RM306,980.
“Modus operandi bagi kes ini adalah membuat pengikraran palsu dengan mengikrar dagangan import sebagai barangan lain seperti printing paper, racks, frame, chairs, clothes, playground equipment, lamps, LED, wardrobe, phone casing dan mirror bagi tujuan penyeludupan dan sekali gus mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di CEA Pelabuhan, Sepanggar, di sini, hari ini.
Mohd Nasir berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu yang terbabit dalam kes ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati alamat penerima adalah palsu dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu yang terbabit dalam kes ini.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 52 dan 135 (1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nasir berkata, JKDM Sabah menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.
“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. – Info X