Search

India sokong hubungan terus dengan Sabah

June 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia menyatakan sokongan terhadap perbincangan untuk mewujudkan penerbangan terus Sabah-India bagi meneroka potensi kerjasama pelancongan dan ekonomi.

Perkara itu menjadi tumpuan ketika kunjungan hormat pemangku Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, Hitesh Rajpal terhadap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai selaku Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), di sini, pada Khamis.

Hitesh berkata, India melihat potensi yang kuat di Sabah, khususnya dalam sektor pelancongan, perdagangan dan teknologi yang menjadi keutamaan kerajaan India dalam strategi libat urus antarabangsanya.

Katanya, fasiliti kemasukan bebas visa Malaysia untuk pemegang pasport India mengukuhkan lagi permintaan pengembaraan dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi menarik kepada pelawat India, khususnya sempena inisiatif Tahun Melawat Malaysia.

Bagaimanapun, katanya kesalinghubungan masih menjadi halangan utama yang perlu diatasi dengan menambah baik hubungan udara bagi membuka seluasnya peluang untuk warga India mengembara ke Sabah.

“Saya menghargai usaha STB atas libat urus proaktifnya dengan pasaran India, termasuk pemegang taruh pelancongan dan penerbangan seperti IndiGo.

“Dari segi penerbangan awam, mungkin kita boleh mengadakan perbincangan lanjut. Jika kita boleh mewujudkan hubungan terus, ia akan menjadi pengubah keadaan.

“Apa-apa daripada kami, kami gembira untuk berkolaborasi dan melaksanakannya bersama,” katanya.

Hitesh turut menekankan peluang berkolaborasi dalam industri filem, terutama dengan adanya insentif dan proses pemudahcara yang dapat menggalakkan lebih banyak produksi India memilih Sabah sebagai destinasi perfileman.

Sementara itu, Joniston dalam maklum balasnya berkata Sabah terus melihat India sebagai pasaran penting yang sedang berkembang, disokong oleh populasinya yang besar dan peluasan segmen pengembaraan luar negara itu.

“Kita berusaha mewujudkan hubungan yang kuat dengan India, termasuk kemungkinan penerbangan terus.

“Sabah akan terus bekerja rapat dengan rakan yang berkaitan untuk mengukuhkan kehadiran kami dalam pasaran India,” katanya.

Joniston berkata, STB juga memudah cara produksi filem di Sabah dengan membantu dari segi koordinasi membabitkan pihak yang berkaitan dan menyediakan sokongan seperti logistik dan pengangkutan apabila diperlukan.

Ketika ini, pelancong India melancong ke Sabah melalui Kuala Lumpur, Singapura dan Brunei.

Pada tahun lalu, Sabah merekodkan seramai 11,282 ketibaan pelawat India, manakala seramai 3,802 ketibaan antara Januari hingga April tahun ini. – Info X