KOTA KINABALU: Inisiatif pembangunan industri jagung bijian secara bersepadu akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.
Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga (JPH) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, hari ini.
Menerusi satu kenyataan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata mesyuarat itu bersetuju agar inisiatif itu dikembangkan di kedua-dua negeri.
Katanya, ia selaras dengan pembangunan industri jagung bijian di Malaysia sebagai satu inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan import sumber makanan bagi industri ternakan.
Beliau berkata, kebergantungan import bahan itu selama ini menyumbang kepada faktor kos pengeluaran yang tinggi sekali gus mempengaruhi harga bekalan yang tinggi di pasaran.
“Mesyuarat juga memutuskan supaya Kerajaan Sabah dan Sarawak dilibatkan secara kolaboratif dan holistik melalui Jawatankuasa Industri Jagung Bijian Negara (NGCIC) yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat kali ini juga mengambil maklum mengenai inisiatif dan syor yang dikemukakan Kerajaan Sabah dan Sarawak berkaitan penstabilan harga barangan dan perkhidmatan di kedua-dua negeri.
Jelasnya, kerajaan kedua-dua negeri turut meminta supaya syor mereka dijadikan rujukan dalam Kajian Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan WP Labuan serta dipertimbangkan oleh agensi pusat dan kementerian persekutuan berkaitan.
“Mesyuarat hari ini turut mengambil maklum mengenai dapatan awal Kajian Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan WP Labuan yang dimulakan pada Mei 2024 dan dijangka selesai pada November 2024.
“Laporan lengkap kajian ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat JPH Sabah, Sarawak dan WP Labuan akan datang yang dijadualkan pada Disember 2024.
“Hasil dan dapatan daripada kajian ini akan dijadikan sebagai asas pertimbangan bagi penambahbaikan inisiatif sedia ada dan juga cadangan inisiatif baharu pada masa akan datang berkaitan penstabilan harga di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya. – Info X