KOTA KINABALU: Portal berita Info X muncul antara pelopor ‘Mobile Journalism’ (MoJo) di Sabah yang diiktiraf menerusi Anugerah Mobile Jornalism diterima wartawannya sempena Anugerah Kewartawanan Kinabalu (KPA) 2026 pada Sabtu.
Wartawan Info X, Junaidi Ladjana juga menjadi pengamal media pertama di negeri ini yang menerima anugerah itu berdasarkan liputan langsung dibuatnya sepanjang berkhidmat dengan Info X sejak empat tahun lalu.
Anugerah itu disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada wartawan atas dedikasi mereka terhadap kerjaya yang mencabar itu.
Info X dikenali dengan liputan langsung kes-kes jenayah, kemalangan atau insiden dan peristiwa yang berlaku di negeri ini, khususnya di ibu negeri dan sekitarnya.
Selain anugerah MoJo, Info X turut mendapat anugerah merit bagi kategori Anugerah Kewartawanan Sukan menerusi laporan sukan bola sepak Sabah pada musim lalu.
Anugerah itu juga adalah pencapaian pertama Info X dalam Anugerah Kewartawanan Kinabalu (KPA) yang diiktiraf sebagai anugerah berprestij bagi pengamal media di Sabah.
Info X merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada pembaca serta pengikutnya di semua saluran media sosial atas sokongan terhadap portal ini sejak ia mula melaporkan berita tempatan Sabah kira-kira empat tahun lalu.
Portal ini akan terus membawakan laporan berita dan liputan langsung yang menarik dan bermaklumat untuk tatapan serta bacaan pengguna media sosial. – Info X