Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

June 11, 2026

Info X Reporters

86 PATI dicekup dalam operasi sekitar KK

KOTA KINABALU: Seramai 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, semalam. Operasi yang dilaksanakan hasil maklumat dan aduan awam itu menyasarkan kawasan yang dipercayai menjadi tumpuan warga asing tanpa dokumen sah. JIM Sabah dalam kenyataan berkata, operasi berkenaan dijalankan pada 10 Jun lalu membabitkan seramai 24 pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Sabah. Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap 125 individu, seramai 86 orang ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. “Kesemua yang ditahan terdiri daripada warganegara Filipina dan Indonesia. “Hasil siasatan awal mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurut kenyataan itu, semua tahanan kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi mengesan dan menahan PATI di seluruh negeri ini. Katanya, tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang didapati melindungi atau menggaji PATI. “Tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, khususnya yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam. “Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu usaha penguatkuasaan yang dijalankan,” katanya. – Info X

June 11, 2026

Info X Reporters

Warga emas ditahan, pelbagai hasil hidupan liar dilindungi dirampas

TAWAU: Tembelang seorang warga emas yang dipercayai menyimpan pelbagai hasil hidupan liar dilindungi terbongkar selepas serbuan pihak berkuasa menemukan daging rusa, kijang, landak serta seekor tenggiling di sebuah rumah di Kampung Kalumpang, Jalan Tawau – Semporna, hari ini. Dalam operasi bersepadu yang dijalankan Unit Perisikan Siasatan Khas (WCB) bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan Batalion 22, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak itu, lelaki tempatan berusia 86 tahun berkenaan ditahan bagi membantu siasatan. JHL Sabah dalam kenyataan berkata, pemeriksaan di rumah suspek menemukan sebuah peti sejuk yang dipercayai menyimpan pelbagai bahagian haiwan liar dilindungi. Menurutnya, antara yang dirampas ialah daging rusa, kijang dan landak selain seekor tenggiling serta seekor monyet yang masih hidup. “Suspek dipercayai memiliki hidupan liar dan hasil hidupan liar tanpa dokumen atau permit yang sah. “Siasatan awal turut mendapati suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti penjualan hidupan liar dilindungi secara haram kepada pelancong di daerah Semporna,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Katanya, semua rampasan dibawa ke Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut manakala suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. Menurut kenyataan itu, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara antara satu hingga lima tahun. JHL Sabah menegaskan pemilikan, perdagangan dan penyimpanan hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemburuan atau perdagangan hidupan liar secara haram diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha pemuliharaan serta penguatkuasaan. – Info X

June 11, 2026

Info X Reporters

Polis tumpaskan dua penyamun dalam 24 jam

TAWAU: Tidak sampai 24 jam selepas memecah masuk sebuah premis dan melarikan pelbagai peralatan fotografi, dua lelaki termasuk seorang warga asing akhirnya diberkas polis dalam serbuan di sebuah bilik penginapan di bandar ini, semalam. Lebih menarik, polis turut menemukan semula pelbagai barangan dipercayai hasil curi yang masih disimpan di lokasi persembunyian suspek. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek ditahan hasil tindakan pantas Strike Team Balai Polis Tawau yang menjalankan risikan sejurus menerima laporan kejadian. Menurutnya, bertindak atas maklumat yang diperoleh, pasukan serbuan menyerbu sebuah bilik penginapan dan berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pecah masuk sebuah premis. “Hasil pemeriksaan lanjut di dalam bilik berkenaan menemui pelbagai barangan dipercayai hasil curi termasuk beberapa kamera, lensa kamera, sebuah komputer riba serta pelbagai aksesori fotografi. “Semua barang berkenaan dipercayai dicuri dari premis yang dipecah masuk sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, ketika tangkapan dilakukan, kedua-dua suspek bertindak agresif dan enggan memberi kerjasama sehingga memaksa anggota polis menggunakan kekerasan minimum bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan selamat. Menurutnya, siasatan mendapati kejadian terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 7.05 pagi selepas menyedari pintu gulungan besi premis miliknya dirosakkan akibat diumpil. “Pemeriksaan di dalam premis mendapati beberapa bahagian telah dibongkar dan sejumlah barangan dilaporkan hilang. “Siasatan lanjut turut mendapati seorang daripada suspek warga tempatan mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kes jenayah serta penyalahgunaan dadah,” katanya. Jasmin berkata, kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah atau premis dan mencuri. “Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X

June 11, 2026

Info X Reporters

Pengukuhan TVET, STEM dan AI dalam agenda pembangunan pendidikan Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi perhatian dan keutamaan terhadap agenda pembangunan pendidikan menerusi pemerkasaan modal insan, peluasan bantuan pendidikan serta pengukuhan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta literasi kecerdasan buatan (AI). Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usaha itu penting bagi memastikan setiap anak Sabah memperoleh peluang pendidikan terbaik tanpa mengira kaum dan latar belakang, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia serta berdaya saing. Beliau berkata, pembangunan modal insan akan terus diperkasa sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan memperkukuhkan masa depan Sabah. “Bidang kemahiran dan pembangunan belia akan terus diperkasa melalui peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan. Pemerkasaan TVET, pengukuhan STEM, latihan pertanian dan teknologi digital dengan penumpuan terhadap literasi AI adalah antara bidang yang turut diberi keutamaan oleh kerajaan negeri,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Kali Keempat Tahun 2026 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Khamis. Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha memperkasakan pendidikan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik bersama JPNS serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pembinaan dan naik taraf sekolah, penyediaan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), program motivasi murid luar bandar, bantuan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan serta pelbagai intervensi pendidikan bagi meningkatkan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar. Beliau berkata, kerajaan negeri juga meneruskan pelbagai bantuan pendidikan termasuk biasiswa dan dermasiswa serta 14 inisiatif bantuan pendidikan sedia ada. “Antara bantuan yang disediakan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer, Bantuan Khas Tunai Peperiksaan, Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA). Selain itu, Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS)turut menawarkan bantuan pendidikan yang boleh dimanfaatkan rakyat,” katanya. Beliau berkata, segala bantuan dan usaha yang disalurkan itu bertujuan memberi manfaat kepada generasi muda selain menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri pada masa hadapan. Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan atas pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025. Katanya, peningkatan prestasi berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) daripada 5.00 pada 2024 kepada 4.85 pada 2025 membuktikan komitmen tinggi dan usaha gigih warga pendidik dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan di Sabah. “Pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan seluruh pihak yang terlibat dalam sistem pendidikan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melonjakkan kecemerlangan pendidikan negeri Sabah pada masa hadapan,” katanya. Hajiji turut menegaskan bahawa guru merupakan tonggak utama pembangunan negara kerana bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk akhlak dan nilai murni dalam kalangan generasi muda. Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas komitmen, keikhlasan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan amanah mendidik anak bangsa. Ends

June 11, 2026

Info X Reporters

Sorok hampir empat tan tepung, gula subsidi dalam premis tidak berlesen

SEMPORNA: Taktik menyimpan hampir empat tan barang kawalan bersubsidi di sebuah premis tidak berlesen di daerah ini terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), semalam. Dalam operasi di sekitar Pekan Semporna itu, pelbagai jenis tepung gandum dan gula pasir kasar yang dipercayai disimpan tanpa kebenaran Pengawal Bekalan berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan RM13,137.28. Rampasan terbabit kemudian diserahkan oleh Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut. KPDN Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, sitaan membabitkan 59 kotak Tepung Gandum Cap Kuda seberat 590 kilogram, 249 kotak Tepung Gandum Cap Lili seberat 2,539.8 kilogram serta 34 karung Tepung Gandum Cap Kuda seberat 850 kilogram. “Turut dirampas sebanyak 47 bundle gula pasir kasar jenama Prai seberat 1,128 kilogram yang ditemui disimpan di dalam premis berkenaan. Menurutnya, seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung pemilikan dan penyimpanan barang kawalan terbabit. “Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen atau kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan barang kawalan berjadual. “Susulan itu, KPDN Semporna membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut,” katanya. Sementara itu, KPDN berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi kerana perbuatan itu boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna yang layak. Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. “Bagi syarikat pula, hukuman yang boleh dikenakan adalah denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya. – Info X

June 11, 2026

Info X Reporters

Lelaki mengamuk, rosakkan harta benda ditahan

KOTA BELUD: Seorang lelaki dipercayai mengalami gangguan mental yang sebelum ini dilaporkan bertindak agresif sehingga mencederakan orang awam dan merosakkan harta benda di sekitar pekan Kota Belud berjaya ditahan polis, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, lelaki berkenaan dikesan dan ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi tujuan keselamatan awam serta tindakan lanjut. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, tindakan segera diambil susulan beberapa laporan dan kebimbangan masyarakat terhadap tingkah laku individu berkenaan yang dipercayai boleh mengancam keselamatan orang ramai. Menurutnya, selepas ditahan, lelaki terbabit dibawa ke Hospital Kota Belud untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan sebelum dirujuk ke Bahagian Psikiatri Hospital Mesra Bukit Padang di Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan lanjut. “Hasil semakan mendapati individu berkenaan mempunyai rekod rawatan kesihatan mental di Hospital Kota Belud dan Hospital Mesra Bukit Padang. “Semakan lanjut juga mendapati dia tidak mempunyai waris terdekat yang boleh dipertanggungjawabkan untuk menjaga serta memantau keadaannya,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Beliau berkata, tindakan yang diambil adalah selaras dengan Seksyen 11 Akta Kesihatan Mental 2001 yang membolehkan seseorang yang disyaki mengalami gangguan mental dan dipercayai boleh membahayakan diri sendiri, orang lain atau harta benda diambil ke dalam jagaan untuk pemeriksaan perubatan segera. Terdahulu, beberapa rakaman video dan gambar tular di media sosial memaparkan individu berkenaan dipercayai bertindak agresif di sekitar pekan Kota Belud sehingga menyebabkan kerosakan harta benda awam dan premis perniagaan. Lelaki itu turut didakwa mengganggu kemudahan awam termasuk merosakkan suis bekalan elektrik serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan. Shahrudin berkata, polis telah melaksanakan tanggungjawab mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak hospital serta agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan individu terbabit terpelihara. “Orang ramai tidak perlu bimbang kerana aspek keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan polis. “PDRM akan terus mengambil langkah proaktif dan sewajarnya bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat sentiasa berada dalam keadaan terkawal,” katanya. – Info X

June 10, 2026

Info X Reporters

‘Zoo mini’ haram terbongkar, pelbagai hidupan liar dirampas

PENAMPANG: Kegiatan seorang lelaki dipercayai memelihara pelbagai spesies hidupan liar tanpa kebenaran terbongkar apabila premis miliknya di Kampung Nambazan, di sini, diserbu dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), hari ini. Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 pagi hasil kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. Pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang permit atau dokumen sah bagi pemilikan hidupan liar yang disimpan di premis berkenaan. Antara haiwan yang dirampas ialah seekor rusa sambar, seekor kijang, seekor ayam pegar Borneo (Bornean Crested Fireback), tiga ekor Silver Pheasant, dua ekor landak nibung, seekor landak raya dan seekor ular sawa batik. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam berhubung aktiviti pemilikan hidupan liar tanpa kelulusan di kawasan berkenaan. Menurutnya, semua haiwan terbabit dirampas untuk tindakan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM47,500. “Suspek ditahan bagi membantu siasatan selepas gagal mengemukakan permit pemilikan yang sah seperti diperuntukkan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. “Kes kini disiasat mengikut peruntukan enakmen berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa berkaitan dalam usaha membanteras aktiviti pemilikan serta perdagangan hidupan liar secara haram. Katanya, tindakan tegas akan terus dilaksanakan bagi memastikan khazanah hidupan liar negara sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman dan eksploitasi yang menyalahi undang-undang. – Info X

June 10, 2026

Info X Reporters

Sambungan elektrik haram setinggan di Semporna, lelaki tanpa dokumen dipenjara dua tahun

TAWAU: Seorang lelaki tanpa dokumen pengenalan diri dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah atas kesalahan mencuri elektrik melalui sambungan haram di sebuah penempatan setinggan di Semporna. Keputusan itu dibuat Mahkamah Sesyen Tawau hari ini selepas tertuduh, Abdul Hamid Siddiq, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 61(1) dan Seksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 (EBE 2024). Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan bagi pertuduhan kedua. Bagaimanapun, kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak. Berdasarkan peruntukan undang-undang, kesalahan di bawah Seksyen 61(1) EBE 2024 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Sementara itu, Seksyen 61(8) pula memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan oleh Pegawai Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Nureen Natasha Mohd Raffie. Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata kes itu merupakan kes ketiga yang didakwa pada tahun ini membabitkan sambungan elektrik haram di kawasan setinggan dan yang pertama berakhir dengan hukuman penjara. Beliau berkata, keputusan mahkamah itu membuktikan bahawa kesalahan mencuri elektrik serta membuat sambungan haram dipandang serius kerana bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity (SE), malah turut mengancam keselamatan awam. “Hukuman yang dijatuhkan ini menunjukkan bahawa mahkamah memandang serius kesalahan kecurian elektrik dan sambungan haram yang bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity, malah boleh menjejaskan kestabilan bekalan elektrik serta mengundang risiko renjatan elektrik dan kebakaran yang mengancam keselamatan nyawa serta harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini. Abdul Nasser berkata, ECoS tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan bekalan elektrik dan akan terus mempergiatkan operasi bersepadu bersama SE serta agensi penguatkuasaan lain. Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan yang berterusan itu penting bagi membanteras kegiatan sambungan elektrik haram yang masih berlaku, khususnya di kawasan setinggan dan penempatan tidak terancang. Katanya, mana-mana individu yang didapati terbabit dengan kegiatan berkenaan akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan keselamatan sistem bekalan elektrik serta kepentingan pengguna terus terpelihara. – Info X