July 21, 2026
Info X Reporters
Bayi perempuan ditemukan dalam semak, polis buru ibu kandung
TAWAU: Seorang bayi perempuan dipercayai ditinggalkan ditemukan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini, pagi tadi. Bayi berkenaan ditemukan seorang lelaki kira-kira jam 6 pagi sebelum dia menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan. Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tawau bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan menerima rawatan lanjut. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung penemuan bayi berkenaan. Katanya, polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti ibu kandung bayi terbabit serta individu yang bertanggungjawab meninggalkannya di lokasi berkenaan. “Polis sedang mengesan saksi selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian sekiranya ada. “Semakan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan turut dilakukan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Wilynton berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang bertindak pantas membantu menyelamatkan bayi berkenaan serta menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan. – Info X
July 21, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: 25,591 lot tanah Anak Negeri diukur sejak 2020
KOTA KINABALU: Program KhasPengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) berjaya mengukur sebanyak 25,591 lot tanah berstatus Anak Negeri membabitkan keluasan 33,891.181 hektar di seluruh Sabah sejak 2020. Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, berkata jumlah itu membabitkan tanah yang diukur sehingga tahun ini dengan peruntukan RM83 juta dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri. Beliau berkata, program itu adalah inisiatif kerajaan bagi mempercepatkan kerja pengukuran tanah Anak Negeri yang sudah diluluskan dan memudahkan proses pengeluaran hak milik tanah kepada pemohon yang layak. Katanya, PANTAS akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bermula tahun ini hingga 2030 dengan peruntukan RM10 juta dari Kerajaan Persekutuan. “Bagi tahun 2026, peruntukan berjumlah RM1 juta sudah disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) bagi pelaksanaan program itu. “Sebanyak 53 pasukan juruukur ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh Sabah,” katanya pada sesi soal jawab lisan Pesidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Selasa. Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Usukan) mengenai peruntukan, bilangan kakitangan teknikal dan keluasan tanah yang berjaya diukur di bawah Program PANTAS di seluruh Sabah. Sementara itu, Isnin berkata sebanyak 26,808 permohonan tanah masih dalam tindakan di peringkat Pejabat Tanah Daerah di seluruh Sabah setakat 30 Jun 2026. “Kerajaan negeri melalui JTU Sabah sentiasa berusaha mempercepat pemprosesan permohonan tanah dan pengeluaran geran tanah kepada pemohon tanah yang layak. “Antara langkah yang sedang danakan terus dilaksanakan termasuk memperkukuh pemantauan permohonan tanah di setiap peringkat pemprosesan dan mempercepatkan tindakan pengukuran permohonan tanah yang diluluskan berdasarkan program pengukuran tanah secara sistematik dan menggunakan peralatan ukur moden,” katanya. Di samping itu, katanya penggunaan sistem pendigitalan jabatan turut diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan serta proses berkaitan pengeluaran geran tanah. Bagaimanapun, katanya tempoh penyelesaian setiap permohonan tanah bergantung kepada beberapa faktor, termasuk status tanah yang dipohon, isu pertindihan permohonan tanah, keperluan melaksanakan siasatan dan semakan teknikal. “Ia juga mengambil kira kekangan tenaga kerja untuk pengukuran tanah dan semakan kerja ukur, pematuhan kepada peruntukan perundangan di bawah Ordinan Tanah Sabah Bab 68 serta dasar Kerajaan Negeri yang berkuat kuasa. “Bagi menangani kekangan tenaga kerja dalam pelaksanaan kerja pengukuran tanah, kerajaan negeri melalui JTU Sabah turut mengambil langkah untuk mengisi sebanyak 30 jawatan Penolong Juruukur Gred J5. Jawatan-jawatan itu kini sedang dalam proses pengiklanan bagi tujuan lantikan baharu,” katanya. Kerajaan negeri, katanya kekal komited untuk mempercepatkan penyelesaian permohonan tanah dan pengeluaran geran Anak Negeri kepada rakyat Sabah yang layak secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang. – Info X
July 21, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Pasukan Renjer Pengiring Gajah bantu tangani gangguan gajah
KOTA KINABALU: Pasukan Renjer Pengiring Gajah diwujudkan di kawasan terjejas atau hotspot berlaku konflik gajah sebagai pendekatan menangani konflik manusia-gajah di Sabah. Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, berkata usaha itu dilaksanakan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) menerusi pembabitan komuniti setempat yang akan dilatih berkaitan kaedah menangani konflik gajah. Pasukan itu, katanya akan diberikan latihan berkaitan tingkah laku gajah, kaedah mengendalikan konflik secara selamat serta teknik menghalau gajah secara berkesan tanpa mencederakan haiwan itu. “Pendekatan ini dapat mempercepatkan tindakan di lapangan dan meningkatkan keupayaan komuniti dalam menangani konflik,” katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN Sabah pada Selasa. Beliau menjawab soalan Arunarnsin Taib (Warisan-Gum-Gum) mengenai langkah kerajaan untuk menangani masalah serangan makhluk perosak seperti gajah liar, babi hutan, monyet dan haiwan lain yang merosakkan tanaman serta menjejaskan pendapatan petani di kawasannya. Dr Andi Md Shamsureezal, berkata pendekatan yang diambil kerajaan negeri melalui JHLS itu lebih kepada usaha mitigasi secara menyeluruh melalui peningkatan kesedaran masyarakat, penglibatan komuniti dan penggunaan kaedah pencegahan yang lebih berkesan bagi mengurangkan risiko konflik. “Kementerian saya melalui JHLS juga sentiasa menambah baik prosedur operasi dan berkongsi kepakaran dengan pasukan mitigasi yang ditubuhkan bersama komuniti setempat,” katanya. Selain itu, katanya JHLS turut melaksanakan beberapa tindakan khusus mengikut spesies hidupan liar seperti pengurangan populasi secara terkawal bagi konflik membabitkan monyet. “Bagi konflik membabitkan monyet, aktiviti pengurangan populasi secara terkawal dilaksanakan di kawasan tertentu, terutamanya bagi tujuan pengawalan risiko penyakit zoonotik dan keselamatan awam dan bukannya sebagai kaedah untuk menyelesaikan konflik manusia-hidupan liar. “Bagi gajah liar pula, antara langkah yang telah dilaksanakan adalah pemasangan kolar satelit bagi memantau pergerakan gajah dan corak penggunaan habitat. “Data daripada pemantauan ini membantu jabatan memahami laluan pergerakan gajah serta merancang tindakan mitigasi yang lebih berkesan, termasuk amaran awal kepada komuniti yang berisiko,” katanya. Jelasnya, bagi konflik membabitkan babi hutan, JHLS turut melaksanakan tindakan kawalan mengikut peruntukan undang-undang dan berdasarkan penilaian risiko serta aduan di kawasan terjejas. Pendekatan yang diambil, katanya adalah berdasarkan kepada sifat, ekologi dan punca konflik bagi setiap spesies serta keadaan sesuatu kawasan. “Kerajaan negeri juga memahami bahawa kaedah tangkap dan pindah bukanlah penyelesaian jangka panjang kerana ia hanya memindahkan masalah ke kawasan lain dan tidak menangani punca sebenar konflik secara menyeluruh,” katanya. Katanya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendekatan berasaskan sains melalui pemantauan berterusan, penyelidikan, penggunaan teknologi, penglibatan komuniti dan kerjasama strategik bagi memastikan keseimbangan di antara pemuliharaan hidupan liar dan kesejahteraan masyarakat, khususnya petani yang terjejas. “Kerajaan negeri komited untuk memastikan konflik manusia-hidupan liar dapat diurus secara mampan dengan mengambil kira kepentingan keselamatan rakyat, kelangsungan sektor pertanian serta pemuliharaan biodiversiti Sabah,” katanya. – Info X
July 21, 2026
Info X Reporters
Sidang DUN: Teliti CJN galak syarikat buat aktiviti hiliran di Sabah
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri kini dalam proses untuk meneliti semua Cukai Jualan Negeri (CJN) dalam usaha menggalakkan syarikat membuat aktiviti hiliran di negeri ini. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kajian mengenai perkara itu dibuat, termasuk sudah mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan. “Kita dalam proses meneliti semua CJN yang dikenakan pada masa ini untuk menggalakkan syarikat buat hiliran di Sabah. “Contohnya CJN ke atas minyak sawit, kita buat kajian dan telah mengdakan libat urus dengan stakeholder pada Jun bagaimana mereka yang ingin proses minyak di Sabah mungkin tidak dikenakan CJN atau dikenakan pada kadar munasabah,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN, di sini, pada Selasa. Beliau menambah jawapan bagi soalan tambahan Datuk Donald Mojuntin (UPKO-Moyog) mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Sabah. Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata SST dikutip kerajaan Persekutuan, manakala CJN dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri. Sementara itu, menjawab soalan asal Donald mengenai kutipan cukai jualan, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Ben Chong, berkata kerajaan negeri mengutip RM1.45 bilion CJN bagi tahun ini setakat 30 Jun lalu. Katanya, jumlah itu bersamaan 55 peratus daripada anggaran hasil CJN untuk tahun ini. “Daripada jumlah itu CJN produk petroleum berjumlah RM679.45 juta; minyak kelapa sawit termasuk biojisim kelapa sawit (RM703.55 juta) dan komoditi perikanan (RM4.22 juta). “Bagi sektor perhutanan, setakat ini sektor tersebut tidak tertakluk kepada pengenaan Cukai Jualan Negeri,” katanya. – Info X
July 21, 2026
Info X Reporters
Penunggang basikal maut dirempuh kereta
PAPAR: Seorang lelaki maut selepas basikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 35, Jalan Kimanis – Keningau, lebuh raya Pan Borneo, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia dipandu wanita berusia 28 tahun dan basikal ditunggang mangsa. Katanya, siasatan awal mendapati penunggang basikal dipercayai memasuki laluan kereta berkenaan secara tiba-tiba sebelum berlaku pelanggaran. “Akibat kemalangan itu, penunggang basikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. “Pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Heryan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Papar untuk proses bedah siasat, manakala kereta dan basikal terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar bagi pemeriksaan lanjut. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Papar atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X
July 21, 2026
Info X Reporters
Suami isteri disyaki edar dadah ditahan, syabu dirampas
KENINGAU: Kegiatan sepasang suami isteri yang disyaki terbabit dalam pengedaran dadah terbongkar selepas mereka ditahan bersama tujuh paket syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kiawayan, Tambunan, semalam. Pasangan masing-masing berusia 33 dan 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau kira-kira jam 12 tengah hari. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat berkaitan kegiatan dadah di kawasan berkenaan. Katanya, sebaik tiba, pasukan polis mendapati pintu rumah berkunci sebelum bertindak memecahkan kunci dan pintu untuk masuk. “Hasil pemeriksaan menemukan tujuh paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 7.27 gram. “Dadah berkenaan ditemukan di dalam beg kecil berwarna hitam yang diletakkan di atas meja kecil di dalam bilik,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, dadah dirampas dianggarkan bernilai RM800 manakala kedua-dua suspek dibawa ke IPD Keningau untuk siasatan lanjut. Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine dan amphetamine serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Katanya, polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian serta sumber bekalan dadah pasangan berkenaan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X
July 21, 2026
Info X Reporters
Bekas isteri cedera dibelasah, lelaki warga asing ditahan
TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki menyerang bekas isterinya sehingga cedera dalam kejadian di Kampung Sri Menanti, di sini, bulan lalu. Suspek berusia 40-an ditahan kira-kira jam 2.45 petang semalam di kawasan Kampung Jawa hasil risikan dan maklumat susulan laporan polis yang dibuat mangsa. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam pada 27 Jun lalu ketika mangsa berusia 30-an berada di kediamannya. Katanya, suspek dipercayai menyerang bekas isterinya dengan menumbuk bahagian mata kiri sebelum menendang beberapa bahagian badan mangsa. “Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan kesakitan sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya. Beliau berkata, suspek kemudian berjaya dikesan sebelum ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Wilynton berkata, polis memandang serius setiap kes keganasan rumah tangga dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang bertindak ganas sehingga mendatangkan kecederaan. Katanya, orang ramai yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga atau mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta segera tampil membuat laporan di balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline IPD Tawau di 089-772121. – Info X
July 20, 2026
Info X Reporters
Baru dua bulan berkursus, ERT hotel berjaya padam kebakaran
KOTA KINABALU: Baru dua bulan menjalani kursus Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT), kakitangan sebuah hotel di bandar raya ini berjaya membuktikan keberkesanan latihan diterima apabila bertindak pantas memadam kebakaran membabitkan lima unit kompresor penghawa dingin, hari ini. Kejadian berlaku di tingkat 24 sebuah hotel di Jalan Gaya, di sini, dan tindakan awal pasukan ERT hotel berjaya mengawal serta memadamkan kebakaran sepenuhnya sebelum ketibaan pasukan bomba. Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, PPgB Mohd Hannis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.29 petang. Menurutnya, seramai 13 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi sejauh 4.2 kilometer. “Pasukan bomba tiba pada 3.53 petang dan mendapati kebakaran membabitkan lima unit kompresor penghawa dingin yang terletak di tingkat 24 hotel berkenaan. “Bagaimanapun, kebakaran sudah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan ERT hotel sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya ketika dihubungi. Difahamkan, pasukan ERT hotel berkenaan baru kira-kira dua bulan menjalani kursus dan latihan berkaitan tindak balas kecemasan. Latihan berkenaan ternyata memberi impak apabila mereka mampu bertindak pantas ketika berdepan situasi sebenar sekali gus membantu mengelakkan kebakaran daripada merebak ke bahagian lain bangunan. Mohd Hannis berkata, sebaik tiba, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan dan kerja ‘overhaul’ di kawasan terbabit bagi memastikan tiada saki-baki api yang boleh mencetuskan kebakaran semula. Katanya, pemeriksaan lanjut turut dilakukan bagi memastikan kebakaran tidak merebak serta keseluruhan kawasan terlibat berada dalam keadaan selamat. “Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini dan operasi berjaya dikawal pada 3.56 petang. “Selepas memastikan tiada lagi keberbahayaan di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.20 petang,” katanya. Operasi membabitkan 13 anggota BBP Kota Kinabalu diketuai PBK I Masri Gari dengan turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kejadian itu sekali gus menunjukkan kepentingan penubuhan dan latihan berterusan pasukan ERT di premis khususnya bangunan bertingkat serta hotel bagi memastikan tindakan awal dapat dilakukan sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat. – Info X