Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

June 5, 2026

Info X Reporters

Tiga lelaki ditahan, 1,000 liter diesel dirampas

BEAUFORT: Taktik menggunakan kenderaan yang diubah suai bagi memindahkan diesel gagal apabila tiga lelaki ditahan dan 1,000 liter bahan api itu dirampas dalam operasi penguatkuasaan di sebuah stesen minyak di Pekan Beaufort, dekat sini. Rampasan turut membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda, pam minyak elektrik, hos dan dokumen berkaitan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM23,320. Kes berkenaan diserahkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Beaufort, Jamiah Bakar berkata, kejadian itu dikesan kira-kira jam 10.45 malam pada 3 Jun lalu di sebuah stesen minyak di Pekan Beaufort. Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sebuah kenderaan jenis Isuzu Invader Double Cabin digunakan untuk menyimpan diesel dalam tangki yang diubah suai. “Turut dirampas ialah satu gulung hos, sebuah pam minyak elektrik dan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM23,320 termasuk kenderaan dan peralatan yang digunakan dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang dilaksanakan KPDN bersama agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya diesel. Beliau berkata, kerjasama antara agensi penguatkuasaan penting bagi memastikan bekalan barang kawalan sampai kepada golongan sasar serta mengelakkan ketirisan subsidi yang boleh menjejaskan ekonomi negara. “KPDN memandang serius sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan bekalan dan kepentingan pengguna. “Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. Jamiah berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan kepada KPDN melalui saluran aduan rasmi bagi membantu usaha penguatkuasaan membanteras kegiatan berkenaan. – Info X

June 4, 2026

Info X Reporters

18 lelaki ditahan susulan dua pergaduhan di Kampung Air

KOTA KINABALU: Polis menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan yang berlaku di Kampung Air, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian pertama kira-kira jam 4 pagi, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an cedera di bahagian betis kanan selepas dipercayai ditikam menggunakan objek tajam yang disyaki duri pari ketika berada di sebuah premis makanan di kawasan berkenaan. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu sebelum bertukar menjadi pergaduhan. Menurutnya, mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan itu dipercayai diserang oleh beberapa suspek sehingga mengalami kecederaan. “Kira-kira sejam kemudian, satu lagi pergaduhan dilaporkan berlaku di lokasi sama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian terdahulu. “Dalam kejadian kedua itu, seorang lelaki mengalami kecederaan lebam pada bahagian hidung akibat dipukul,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan. Katanya, polis turut merampas beberapa barang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian termasuk sebatang hulu senjata dan satu sarung yang disyaki digunakan untuk menyimpan senjata tajam. “Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas semua suspek mendapati mereka negatif daripada penyalahgunaan dadah,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya. Syed Lot berkata, mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Movendran Apoorvasamy. Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan ketenteraman awam. “Polis memandang serius sebarang perbuatan keganasan dan pergaduhan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya. – Info X

June 4, 2026

Info X Reporters

Dua lelaki ditahan bersama ekstasi, ketamin bernilai RM83,000

KOTA KINABALU: Dua lelaki diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di kawasan Inanam, di sini, semalam. Dalam operasi kira-kira jam 7 malam itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah merampas pelbagai jenis dadah termasuk serbuk ekstasi dan ketamin bernilai keseluruhan lebih RM83,000. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 28 tahun ditahan dalam operasi hasil maklumat serta risikan berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah. Menurutnya, suspek pertama ditahan ketika berada di hadapan sebuah klinik di kawasan Taipan Inanam. “Hasil pemeriksaan terhadap sebuah plastik yang diserahkan suspek, polis menemui 30 paket plastik dipercayai mengandungi serbuk ekstasi seberat 537.14 gram dan satu paket berisi ketulan hablur disyaki ketamin seberat 50.28 gram. “Nilai rampasan dianggarkan RM80,570 bagi serbuk ekstasi dan RM2,514 bagi ketamin,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Alhusin berkata, susulan tangkapan itu, seorang lagi lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai pembekal dadah berkenaan turut diberkas di hadapan sebuah premis pajak gadai di Bandar Taipan, Inanam. Katanya, siasatan mendapati suspek kedua dipercayai datang ke lokasi untuk mengambil wang hasil jualan dadah daripada suspek pertama. “Hasil ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah. “Polis turut merampas dua telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pengedaran dadah,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah. Beliau berkata, JSJN Sabah akan terus memperhebat operasi membanteras kegiatan pengedaran dadah bagi memastikan sindiket terbabit dapat dilumpuhkan sepenuhnya. – Info X

June 4, 2026

Info X Reporters

Sumbangan RM10,000 bukti komitmen sokong atlet Sabah

KOTA KINABALU: Sumbangan RM10,000 kepada Pasukan Ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan untuk menyokong pembangunan sukan serta menyuntik semangat atlet Sabah yang membawa cabaran negeri di peringkat kebangsaan. Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn. Bhd. merangkap Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor P. Paut berkata, sokongan kepada pasukan berkenaan diberikan atas dasar kepercayaan terhadap kemampuan mereka untuk mengharumkan nama Sabah. Menurutnya, setiap pasukan yang berusaha mewakili negeri wajar menerima galakan daripada pelbagai pihak bagi memastikan mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan dan pertandingan. “Apabila kita melihat ada pasukan yang bersungguh-sungguh berlatih dan membawa nama Sabah ke pentas kebangsaan, kita perlu tampil memberi sokongan mengikut kemampuan masing-masing. “Sumbangan ini mungkin tidak besar jika dibandingkan dengan keseluruhan kos penyertaan, tetapi saya berharap ia dapat membantu meringankan sedikit beban pasukan serta menaikkan semangat pemain. “Apa yang lebih penting ialah mesej bahawa mereka tidak bergerak bersendirian kerana masih ada pihak yang menghargai usaha dan pengorbanan mereka. “Kita mahu melihat lebih banyak kejayaan dicapai oleh atlet dan pasukan dari Sabah. Apabila mereka berjaya, seluruh rakyat Sabah turut berbangga dengan pencapaian itu,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Pasukan Ragbi PDRM Sabah. Victor berkata, pembangunan sukan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk sektor korporat, pemimpin masyarakat dan individu yang berkemampuan bagi memastikan atlet terus mendapat sokongan sewajarnya. “Saya percaya sukan bukan sahaja membentuk kecergasan fizikal, tetapi turut melahirkan disiplin, semangat berpasukan dan kepimpinan dalam kalangan pemain. “Atas sebab itu, usaha membangunkan sukan tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. “Harapan saya agar pasukan ini dapat memberikan persembahan terbaik dan membawa pulang kejayaan untuk Sabah,” katanya. Sementara itu, Pengurus Pasukan Ragbi PDRM Sabah, Superintenden Rizal Izman Mansor menyifatkan sumbangan yang diterima sebagai suntikan motivasi menjelang Kejohanan Ragbi Piala Ketua Polis Negara di Sekolah King George V, Seremban, Negeri Sembilan dari 10 hingga 12 Jun ini. Katanya, bantuan berkenaan memberi semangat tambahan kepada pemain yang sedang membuat persiapan akhir sebelum berlepas ke Semenanjung. “Bagi kami, ini bukan soal jumlah wang semata-mata, tetapi soal semangat dan keikhlasan untuk melihat pasukan berjaya. “Kami amat berterima kasih kepada Datuk Victor atas sokongan yang diberikan. Sumbangan ini memberi suntikan moral yang besar kepada seluruh pasukan,” katanya. Menurut Rizal, pasukan PDRM Sabah akan menghantar dua pasukan pada kejohanan berkenaan iaitu kategori terbuka dan veteran. Beliau berkata, pencapaian terbaik pasukan setakat ini ialah menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam kategori Cup pada edisi tahun lalu di Melaka. “Kami menyasarkan keputusan yang lebih baik berbanding tahun lalu dan berharap dapat menamatkan saingan dalam kelompok terbaik. “Persiapan berjalan lancar dan pemain menunjukkan komitmen yang sangat baik sepanjang latihan,” katanya. Pasukan PDRM Sabah dijadual berlepas ke Semenanjung secara berperingkat bermula 6 hingga 8 Jun bagi menghadapi kejohanan yang dianggap antara pertandingan ragbi paling berprestij dalam kalangan warga PDRM di negara ini. – Info X

June 4, 2026

Info X Reporters

Perinci kaedah, mekanisme bayaran interim RM1.5 bilion – KDM

KOTA KINABALU: Isu pelaksanaan pembayaran interim RM1.5 bilion yang diumumkan Kerajaan Persekutuan berkaitan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi perhatian pelbagai pihak di Sabah yang mahukan penjelasan lebih terperinci, khususnya membabitkan kaedah serta mekanisme pembayaran dana berkenaan. Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Datuk Peter, berkata aspek pelaksanaan termasuk saluran dana, struktur pembayaran serta mekanisme pemantauan perlu diperincikan segera bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Beliau berkata, perkara paling utama yang perlu dijelaskan oleh Kerajaan Persekutuan ialah kaedah pelaksanaan pembayaran RM1.5 bilion itu sama ada disalurkan terus kepada kerajaan negeri, melalui projek pembangunan atau mekanisme lain yang ditetapkan. “Pemberian khas interim RM1.5 bilion itu tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad MA63. Yang lebih penting ialah bagaimana kaedah dan mekanisme pembayaran ini dilaksanakan secara terperinci,” katanya. Menurutnya, rakyat Sabah sudah sekian lama menunggu penyelesaian penuh isu MA63 yang dianggap sebagai hak negeri, bukan sekadar pengumuman bantuan bersifat interim. “Kaedah dan mekanisme bayaran ini mesti diperjelaskan dengan teliti sama ada melalui peruntukan terus, akaun khas negeri atau pelaksanaan projek tertentu. Tanpa kejelasan, ia boleh menimbulkan pelbagai persoalan ketika peringkat pelaksanaan,” katanya. Dalam pada itu, beliau mempersoalkan ketelusan pengumuman berkenaan termasuk asas pertimbangan jumlah RM1.5 bilion itu serta sama ada ia benar-benar mencerminkan penyelesaian menyeluruh tuntutan Sabah. Priscella turut menggesa penjelasan lanjut berhubung tempoh pembayaran, jadual pelaksanaan serta mekanisme pemantauan dan pelaporan penggunaan dana oleh kerajaan negeri. Beliau berkata, peruntukan itu lebih wajar dilihat sebagai pembayaran awal kepada hak Sabah di bawah MA63, bukannya sekadar pemberian khas. Menurutnya, semua bayaran interim juga dicadangkan dimasukkan ke dalam satu akaun khas Sabah yang diuruskan oleh kerajaan negeri bagi memastikan ketelusan serta pemantauan lebih berkesan. Dalam pada itu, Priscella turut mempersoalkan mengapa jumlah tuntutan tidak diselesaikan lebih awal sekiranya Kerajaan Negeri dan Kuala Lumpur mempunyai jumlah yang tepat berdasarkan hasil pendapatan dari 2022 hingga 2025. “Saya percaya Kerajaan Negeri Sabah dan Kuala Lumpur mempunyai jumlah yang tepat berdasarkan hasil pendapatan dari 2022 hingga 2025. “Mengapa jumlah tuntutan ini tidak diselesaikan lebih awal sekiranya Perdana Menteri benar-benar ikhlas dalam menyelesaikan tuntutan MA63, atau adakah ia sekadar siri pengumuman menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 yang semakin hampir dan kritikal bagi Kerajaan Perpaduan,” katanya. Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian khas interim RM1.5 bilion sebagai sebahagian usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu berkaitan MA63. Bagaimanapun, pelbagai pihak di Sabah berpendapat pelaksanaan itu perlu diperincikan dengan jelas, khususnya dari segi kaedah pembayaran, mekanisme penyaluran serta penyelarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan ia mencapai matlamat yang disasarkan. – Info X

June 4, 2026

Info X Reporters

Sabah sumbang lebih 40 peratus pengeluaran minyak mentah Malaysia

KOTA KINABALU: Sabah memainkan peranan penting dalam landskap tenaga Malaysia dengan menyumbang lebih 40 peratus pengeluaran minyak mentah negara dan kira-kira 20 peratus pengeluaran gas asli negara. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sumbangan itu berkembang hasil pembangunan industri minyak dan gas Sabah yang mencatat kemajuan memberangsangkan sejak penemuan penting pertama pada 1971. “Hari ini, Sabah memainkan peranan penting dalam landskap tenaga Malaysia dengan menyumbang lebih 40 peratus pengeluaran minyak mentah negara dan kira-kira 20 peratus pengeluaran gas asli negara,” katanya. Beliau berkata demikian pada Persidangan dan Pameran Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas Sabah (OGSE) 2026 yang julung kali diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis. Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun. Bagaimanapun, Hajiji berkata Sabah tidak boleh lagi berpuas hati hanya sebagai pembekal sumber mentah kerana angka pengeluaran semata-mata tidak mampu membina ekonomi moden yang berdaya tahan. “Masa depan Sabah bukan hanya terletak pada pengeluaran sumber, tetapi juga pada pegangan ekuiti, pelaksanaan dan pemilikan tempatan. “Kita mesti memastikan kekayaan yang dijana daripada sumber negeri ini dapat melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang kukuh, peluang pekerjaan yang lebih baik, keupayaan teknikal yang lebih mendalam dan limpahan ekonomi yang lebih luas di seluruh Sabah,” katanya. Beliau berkata, sektor OGSE menjadi pemacu berpotensi tinggi bagi Sabah yang membolehkan peralihan daripada pengeluaran sumber kepada perkhidmatan bernilai tambah, di samping memupuk pertumbuhan inklusif dan menyokong matlamat SMJ 2.0 ke arah produktiviti lebih tinggi serta kemakmuran bersama. Lebih penting, katanya sektor itu menjadi pemacu utama pembangunan kandungan tempatan, penciptaan pekerjaan, pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kepelbagaian sumber hasil negeri. Berikutan itu, katanya kerajaan negeri menyasarkan pemilikan kontrak sebanyak 60 peratus oleh vendor OGSE tempatan tahun ini susulan kejayaan pelaksanaan dasar Jawatankuasa Kecil 4 (SC4) di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara kerajaan negeri dan PETRONAS yang dimeterai pada 7 Disember 2021. “Sejak pelaksanaan dasar SC4, jumlah kontrak aktif yang diperoleh vendor tempatan Sabah meningkat dengan ketara daripada 133 kontrak pada 2021 kepada 499 kontrak aktif pada 2026. “Sehingga kini, sebanyak 393 vendor OGSE yang berpangkalan di Sabah telah diiktiraf dan dinilai secara rasmi berdasarkan keupayaan teknikal mereka,” katanya. Hajiji berkata kerajaan negeri mahu syarikat Sabah melangkaui peranan daripada subkontraktor berkeuntungan rendah kepada kontraktor utama, pemegang lesen, penerima teknologi dan pencipta nilai jangka panjang. “Matlamat utama kita ialah memastikan lebih banyak nilai ekonomi yang dijana daripada industri minyak dan gas Sabah kekal di Sabah, sambil meneruskan kerjasama kukuh dan saling menguntungkan dengan rakan kongsi nasional dan antarabangsa yang berwibawa,” katanya. Beliau berkata, Sabah mengalu-alukan kehadiran pengendali antarabangsa, pemain utama nasional dan penyedia perkhidmatan yang mantap sebagai rakan penting dalam pertumbuhan negeri. Katanya, Sabah menawarkan asas sumber yang kukuh, persekitaran operasi yang kompetitif, hala tuju dasar yang jelas menerusi CCA serta sebuah Kerajaan Negeri yang stabil dan mesra perniagaan. “Namun apa yang kita cari bukan sekadar kerjasama, tetapi kerjasama yang mempunyai tujuan. Kandungan tempatan mesti bermakna, boleh diukur dan mampan. Kita mengharapkan kerjasama yang membawa pemindahan teknologi sebenar, pembangunan keupayaan yang tersusun, latihan tenaga kerja tempatan serta penyertaan komersial yang adil. “Mereka yang benar-benar melabur dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja Sabah, membangunkan keupayaan vendor tempatan dan mewujudkan operasi jangka panjang di Sabah akan mendapati kerajaan negeri sebagai rakan yang menyokong dan boleh dipercayai,” katanya. Sementara itu, Ketua Menteri berkata pelan lima tahun Hala Tuju OGSE 2026-2030 sedang dirangka bagi membangunkan industri OGSE yang mampan. Beliau berkata, kerajaan negeri percaya industri OGSE yang mampan tidak boleh dibangunkan hanya melalui pelan tindakan yang bersifat tegar dan ditentukan dari atas ke bawah semata-mata. “Industri yang kukuh dan berdaya tahan perlu dibentuk melalui kerjasama erat antara kerajaan, PETRONAS dan semua pihak berkepentingan utama termasuk pengendali, kontraktor, vendor, persatuan industri, institusi kewangan serta penyedia latihan. “Maklum balas daripada semua pihak berkepentingan adalah penting dalam pembangunan Pelan Hala Tuju OGSE Sabah Lima Tahun 2026-2030,” katanya. Jelasnya, pelan hala tuju itu mesti bersifat praktikal, diterajui industri dan berorientasikan hasil bagi menangani kekangan sebenar yang dihadapi syarikat tempatan serta menyediakan laluan pertumbuhan yang jelas dengan memberi tumpuan kepada tiga bidang kritikal. Beliau berkata bidang fokus pertama ialah akses kepada modal bagi mewujudkan kemudahan kredit yang boleh dipercayai serta pilihan modal kerja khusus bagi membolehkan vendor tempatan membiayai projek luar pesisir yang memerlukan modal besar. “Bidang fokus kedua ialah Peningkatan Teknikal: Menyediakan vendor tempatan untuk bersaing mendapatkan skop kejuruteraan yang lebih kompleks, khususnya dalam integriti aset dan aktiviti pembangunan utama di Sabah. “Manakala bidang fokus ketiga pula ialah Padanan Bakat: Menghubungkan peluang pekerjaan teknikal bernilai tinggi secara langsung kepada belia Sabah supaya bakat terbaik negeri ini terus berkhidmat di Sabah,” katanya. – Info X

June 4, 2026

Info X Reporters

Ganja dalam parcel, peniaga diberkas ketika ambil bungkusan

PENAMPANG: Helah menyembunyikan ganja dalam bungkusan kurier tidak menjadi apabila seorang peniaga diberkas sebaik mengambil parcel yang disyaki mengandungi dadah itu dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah di Jalan Lintas, Kepayan, di sini, semalam. Dalam operasi kira-kira jam 10.30 pagi itu, suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan hasil maklumat dan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Sabah. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, sebelum itu Bahagian Risikan/ Operasi JSJN IPK Sabah menerima maklumat daripada AKPS pada 29 Mei lalu berkaitan parcel yang disyaki mengandungi bahan menyalahi undang-undang. Menurutnya, bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota JSJN menjalankan operasi khas sebelum menahan suspek di kawasan Jalan Lintas, Kepayan. “Ketika serbuan, suspek menyerahkan satu bungkusan plastik bertulis ‘Pos Laju’ kepada pasukan operasi. “Pemeriksaan lanjut terhadap parcel itu menemukan satu bungkusan putih dan biru yang mengandungi dadah disyaki ganja dengan anggaran berat 46.66 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Alhusin berkata, susulan tangkapan itu, pasukan serbuan turut melakukan pemeriksaan di rumah sewa suspek di Kota Kinabalu namun tidak menemui sebarang barang menyalahi undang-undang. Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki berkenaan positif tetrahydrocannabinol (THC). “Nilai rampasan dadah dianggarkan sekitar RM400 dan semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. “Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya. Beliau berkata, JSJN Sabah akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah di negeri ini. “Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti dadah dan akan terus mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang,” katanya. – Info X

June 4, 2026

Info X Reporters

750 liter petrol disyaki mahu diseleweng dirampas

LABUAN: Cubaan menyimpan sejumlah besar petrol dipercayai untuk tujuan penyelewengan terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menyerbu sebuah jeti tidak berdaftar di Kampung Sungai Keling, di sini, semalam. Dalam serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) kira-kira jam 2 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. Hasil pemeriksaan di lokasi, anggota penguat kuasa menemui 20 gelen dan dua drum mengandungi cecair disyaki petrol dengan anggaran keseluruhan sebanyak 750 liter. Siasatan awal mendapati barang kawalan berjadual berkenaan dipercayai disimpan tanpa permit atau kebenaran bertulis yang sah daripada KPDN. Susulan itu, semua barang kes disita untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,940. Lelaki yang berada di lokasi kejadian turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung pemilikan serta penyimpanan barang kawalan berjadual berkenaan. KPDN Labuan dalam kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyelewengan membabitkan barang kawalan dan akan terus memperkukuhkan operasi penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 bagi memastikan bekalan bersubsidi tidak disalah guna. Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Katanya, orang ramai juga diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melibatkan barang kawalan melalui saluran aduan rasmi KPDN bagi membantu membanteras ketirisan subsidi di negara ini. – Info X