July 27, 2026
Info X Reporters
Kereta musnah terbakar di Kampung Sentosa Tawau
TAWAU: Sebuah kereta jenis Toyota Vios musnah 100 peratus dalam kebakaran di Jalan JPJ Hill Top, Kampung Sentosa, di sini, lewat malam Sabtu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 11.21 malam. Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Water Tanker digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.30 malam dan mendapati sebuah Toyota Vios sedang terbakar sepenuhnya. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada jentera bomba serta dua gelen buih (foam),” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.50 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya. Menurutnya, anggota bomba kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran atau risiko lain di lokasi kejadian. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.20 tengah malam,” katanya. – Info X
July 27, 2026
Info X Reporters
Dua penghuni sempat selamatkan diri sebelum rumah kedai hangus
KENINGAU: Dua penghuni sempat menyelamatkan diri beberapa minit sebelum rumah kedai yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Patikang, Kampung Perkaya, di sini, pada Sabtu. Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, kedua-dua mangsa berjaya keluar dari rumah sebelum api marak dan memusnahkan keseluruhan bangunan jenis tidak kekal seluas 335 meter persegi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menghantar 10 anggota bersama sebuah jentera dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) ke lokasi. Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian, pasukan bomba mendapati rumah kedai itu sudah terbakar 100 peratus. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 61 meter dengan empat pancutan, manakala bekalan air diperoleh daripada jentera bomba serta water tanker. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9 malam sebelum dipadam sepenuhnya pada jam 10 malam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kedua-dua penghuni tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya keluar menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba. Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya yang boleh mencetuskan kebakaran semula sebelum operasi ditamatkan. “Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X
July 26, 2026
Info X Reporters
Lebih 40 jenazah dikebumikan semula susulan tanah runtuh Sim-Sim
SANDAKAN: Lebih 40 jenazah yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim, di sini, dikebumikan semula secara berjemaah dalam satu liang lahad, hari ini. Proses pengebumian semula dilakukan di kawasan rata dalam tanah perkuburan sama oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan dengan kerjasama pelbagai agensi serta waris. Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Sandakan, Rahmin Arman berkata, proses pemindahan dan pengebumian semula berjalan lancar hasil kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), polis, waris dan penduduk setempat. “Proses ini dilaksanakan mengikut nasihat Mufti Sabah supaya semua jenazah disemadikan semula secara berjemaah dalam satu liang lahad selaras dengan hukum syarak serta bagi menjaga kemuliaan jenazah,” katanya. Beliau berkata, proses itu turut dipantau Pengarah JHEAINS Sabah, Datuk Awang Juri Ag Tahir menerusi panggilan video bagi memastikan semua urusan berjalan mengikut tertib. Menurutnya, kawasan perkuburan yang terjejas akan dicadangkan untuk diwartakan sebagai kawasan larangan pengebumian pada masa depan bagi mengelakkan risiko tanah runtuh dan menjamin keselamatan orang ramai. Pada 11 Mac lalu, lebih 20 kubur dilaporkan rosak selepas berlaku tanah runtuh di tanah perkuburan berkenaan. Dalam kejadian sama, seorang lelaki warga emas, Agustine Frederick J. Lingam, 76, turut dilaporkan maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah hotel di pusat bandar Sandakan. – Info X
July 26, 2026
Info X Reporters
Rokok seludup lebih RM229,000 dirampas di stor tingkat 10
SANDAKAN: Kegiatan menjadikan dua bilik di sebuah bangunan sebagai stor penyimpanan rokok seludup terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di Bandar Sandakan, di sini, hari ini. Dalam serbuan di sebuah premis di Tingkat 10, Bangunan Baru Bandar Sandakan, Jalan Old Slipway, pasukan operasi merampas 187,480 batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak berkastam. Rampasan itu membabitkan rokok kretek dan rokok putih dengan anggaran keseluruhan nilai melebihi RM229,000. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman berkata, semua rokok berkenaan ditemui hasil pemeriksaan yang dijalankan di dua bilik yang dijadikan stor penyimpanan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 42 kes penyeludupan rokok dengan 30 tangkapan serta jumlah nilai rampasan mencecah RM6,030,176.66. Katanya, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam membanteras kegiatan penyeludupan yang menjejaskan hasil negara. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan serta memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras secara menyeluruh demi memelihara keselamatan dan kepentingan ekonomi negara,” katanya. – Info X
July 26, 2026
Info X Reporters
JIM Sabah nafi dakwaan tahanan Filipina meninggal dunia di depot
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa berlaku kesesakan melampau di Depot Tahanan Imigresen (DTI) negeri ini sehingga mengakibatkan ramai tahanan warga Filipina meninggal dunia. Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan. Katanya, gambar yang tular di media sosial juga bukan merujuk kepada mana-mana Depot Tahanan Imigresen di bawah seliaan JIM Sabah. “Semua tahanan warga Filipina yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Sabah berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal. “Sepanjang tempoh tahanan, mereka diberikan layanan dan perlindungan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur operasi yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, semua tahanan turut menerima kemudahan asas termasuk makanan yang disediakan mengikut jadual serta menu dan keperluan nutrisi yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Beliau berkata, tahanan juga diberi akses kepada rawatan perubatan apabila diperlukan selain keperluan asas lain sepanjang berada di depot tahanan. Dalam pada itu, beliau menjelaskan proses penghantaran pulang warga Filipina melalui laluan kapal dari Sandakan ke Zamboanga yang sebelum ini menjadi laluan utama repatriasi telah digantung oleh pihak berkuasa Filipina sejak Februari lalu. “Keadaan itu memberi kesan kepada kelancaran proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal. “Bagaimanapun, bagi memastikan proses repatriasi terus berjalan, JIM Sabah menggunakan laluan alternatif iaitu penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao,” katanya. Katanya, pelaksanaan penghantaran pulang melalui laluan alternatif itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan. Sehubungan itu, Sitti Saleha berkata, JIM Sabah kekal komited memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua tahanan terus terpelihara di samping melaksanakan proses penghantaran pulang mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat, gambar dan kandungan yang tidak sahih sehingga boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. “Orang ramai disaran mendapatkan maklumat yang tepat hanya melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya. – Info X
July 25, 2026
Info X Reporters
RM90 juta bantuan untuk sekolah persendirian Cina, mubaligh dan badan keagamaan bukan Islam
SANDAKAN: Program bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah persendirian Cina, sekolah mubaligh dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah meningkat lebih 100 peratus daripada RM43 juta pada 2020 kepada RM90 juta tahun ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sejak Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberi mandat mentadbir negeri ini pada 2020, bantuan kewangan tahunan kepada sekolah Cina, mubaligh dan badan keagamaan bukan Islam terus ditingkatkan secara konsisten. Katanya, jumlah bantuan kewangan itu meningkat daripada RM43 juta pada 2020 dan 2021 kepada RM47 juta pada 2022 dan RM54.05 juta pada 2023, diikuti RM56.75 juta pada 2024 dan RM70 juta pada 2025. “Pada tahun ini, kerajaan mengambil langkah untuk menaikkan jumlah keseluruhan bantuan kepada RM90 juta,” katanya pada majlis penyerahan bantuan kewangan kepada sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam 2026 bagi Zon Pantai Timur (Sandakan) di Dewan SJKC Chi Hwa, di sini, pada Sabtu. Ucapan beliau disampaikan Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. Hajiji berkata peningkatan bantuan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus membantu institusi pendidikan dan keagamaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat di Sabah. “Adalah diharapkan sumbangan ini dapat membantu sedikit sebanyak aktiviti sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah,” katanya. Beliau berkata, peningkatan yang berterusan sejak 2020 membuktikan bahawa apabila ekonomi negeri semakin kukuh dan kedudukan kewangan kerajaan semakin stabil, manfaatnya akan dikembalikan kepada rakyat. “Inilah komitmen Kerajaan GRS dalam memastikan setiap komuniti di Sabah mendapat perhatian yang adil serta menikmati hasil pembangunan negeri tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang. “Inilah simbol sokongan dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat tanpa mengira warna kulit, suku kaum dan fahaman agama. Kita hulurkan bantuan dan keperluan mengikut keupayaan dan kemampuan. “Sama-sama kita berusaha menjadikan negeri Sabah ini terus maju, aman dan makmur; membangun dengan pesat demi kesejahteraan kita semua,” katanya. Selaras dengan itu, katanya Kerajaan Sabah melakar satu lagi sejarah penting apabila mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) yang membuka ruang lebih luas kepada pemegang sijil untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri serta memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah. “Langkah ini mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kepelbagaian sistem pendidikan yang wujud di negeri ini. Apa yang paling penting bagi kita ialah melahirkan modal insan yang berkualiti, berpengetahuan dan mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah pada masa hadapan,” katanya. Sementara itu, Hajiji berkata sejumlah RM9 juta telah diluluskan bagi Zon Pantai Timur yang merangkumi Sandakan, Beluran, Tongod, Telupid, Paitan, Kinabatangan dan Sukau, meningkat sebanyak RM2 juta berbanding tahun 2025. Daripada jumlah itu, katanya sebanyak RM4.41 juta diperuntukkan kepada 42 institusi pendidikan yang terdiri daripada sebuah sekolah persendirian Cina, dua sekolah menengah jenis kebangsaan, 10 sekolah jenis kebangsaan Cina, sembilan sekolah rendah dan menengah kebangsaan mubaligh, 18 tadika serta dua sekolah swasta mubaligh. Sementara itu, katanya sebanyak RM4.58 juta diperuntukkan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam yang melibatkan 96 gereja daripada sembilan denominasi, 27 tokong dan dua kuil. “Pada tahun ini juga, sebanyak 46 permohonan baharu daripada gereja telah diluluskan. Saya berharap bantuan yang disampaikan pada hari ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi tujuan penyelenggaraan, penambahbaikan kemudahan, pembangunan pendidikan dan aktiviti kerohanian demi manfaat masyarakat setempat,” katanya. Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau akan terus berpegang kepada prinsip keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman. “Kita tidak melihat bangsa atau agama dalam menyalurkan bantuan, sebaliknya kita melihat keperluan rakyat dan masa depan negeri yang perlu dibangunkan bersama. “Inilah semangat yang menjadi pegangan Kerajaan GRS sejak diberi mandat mentadbir negeri ini. Saya yakin, dengan semangat perpaduan, saling menghormati dan kebersamaan yang menjadi identiti rakyat Sabah, negeri ini akan terus maju, makmur dan stabil. “Inilah asas yang akan terus memacu Sabah Maju Jaya untuk generasi hari ini dan masa depan. Sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, kita juga sedaya upaya merancang dan bekerja keras bagi mengatasi masalah sebarang isu dan mengambil berat serta sentiasa berusaha memastikan semua kaum, tanpa mengira warna kulit dan fahaman agama, mendapat pembelaan yang adil dan saksama. “Sebab itu saya sentiasa menyokong dan membantu mana-mana institusi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan yang memerlukan bantuan. Inilah semangat kekitaan dan kebersamaan yang menjadi prinsip perjuangan GRS sejak membentuk kerajaan pada 2020,” katanya.- Info X
July 25, 2026
Info X Reporters
Ketua Menteri arah pemantauan rapi situasi banjir di Tawau
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Pusat Kawalan Bencana Negeri supaya memantau dengan rapi situasi banjir di Tawau. Ia selepas daerah itu diisytihar sebagai kawasan bencana susulan banjir yang melanda banyak kawasan sejak Jumaat (24 Julai). “Semua agensi berkaitan telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas. Saya mahu mereka bersiap siaga untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan. Ketua Menteri turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila diperlukan. Beliau berkata, setakat ini keadaan masih terkawal dengan semua agensi berkaitan berada di lapangan bagi memberikan bantuan kepada mangsa. Jawatankuasa Bencana Alam Tawau mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana pada jam 8.30 pagi tadi selepas beberapa kawasan perumahan di Tanjung Batu Keramat, Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Taman Sunshu dan Taman Sri Balung dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan sejak malam tadi. Jawatankuasa itu juga sedang mengumpulkan maklumat mengenai jumlah mangsa yang terjejas bagi tujuan pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS), jika perlu. Sehingga jam 11 pagi hari ini, sebuah PPS dibuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau yang menempatkan 96 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan 335 mangsa.- Info X
July 25, 2026
Info X Reporters
Program Ikan Rakyat Sabah pastikan bekalan ikan cukup, bantu ekonomi nelayan
LABUAN: Program Ikan Rakyat Sabah (IRS) yang dilaksanakan SAFMA memainkan peranan penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara menerusi penyediaan bekalan ikan segar dan berkualiti pada harga mampu milik kepada rakyat. Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar, berkata program itu diwujudkan bagi memastikan semua lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, mendapat akses kepada sumber protein berkualiti tanpa dibebani peningkatan kos sara hidup. Beliau berkata, IRS bukan saja memberi manfaat kepada pengguna, malah membantu meningkatkan pendapatan nelayan tempatan melalui pembelian terus hasil tangkapan mereka, sekali gus mewujudkan rantaian bekalan yang lebih cekap dan mampan. “Program ini memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi, segar dan selamat dimakan, di samping memperkukuh ekonomi komuniti nelayan serta menyokong pembangunan industri perikanan Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyertai program Road to MAHA 2026 Labuan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, di sini, pada Sabtu. Burhan berkata, penyertaan SAFMA dalam pameran itu menjadi platform memperkenalkan Program Ikan Rakyat Sabah kepada masyarakat selain mempromosikan perkhidmatan, produk berasaskan makanan laut dan peluang kerjasama melalui pendaftaran Rakan Niaga SAFMA. Katanya, pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai info poduk makanan laut, menikmati Menu Rakyat berasaskan hasil laut serta menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan sepanjang pameran. Katanya, selaras dengan aspirasi Ekonomi Biru Sabah, SAFMA akan terus memperluaskan pelaksanaan IRS menerusi pembangunan kemudahan penyimpanan sejuk beku, bekalan ais blok, penghasilan produk nilai tambah, rangkaian perluasan serta pelaksanaan inisiatif Zero Waste Fisheries. “Program Ikan Rakyat Sabah bukan sekadar menyediakan ikan pada harga berpatutan, malah menjadi pelaburan jangka panjang dalam membina ekosistem perikanan yang mampan, meningkatkan pendapatan nelayan dan menjamin bekalan makanan untuk rakyat,” katanya. Sempena lawatan kerja ke Labuan, delegasi SAFMA turut mengadakan tinjauan ke Pasar Ikan Labuan dan Kompleks Perikanan LKIM Labuan bagi melihat operasi pemasaran serta rantaian bekalan hasil perikanan di pulau itu. Turut hadir Timbalan Pengurus Besar SAFMA, Azis Ali Amat bersama barisan pengurusan SAFMA. – Info X